Bangunan Istana Kehakiman di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Selain prosiding berkaitan Duta Enclave, Mahkamah Persekutuan turut menetapkan Rabu ini bagi menentukan rayuan pendakwaan berkaitan permohonan semakan oleh banduan yang telah menerima pengampunan terhadap hukuman mati.

Pendakwaan merayu untuk membatalkan keputusan panel terdahulu yang membenarkan banduan yang telah menerima pengampunan, memohon semakan.

Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah pendakwaan dan peguam yang mewakili tiga banduan tersebut pada 5 November lalu.

Hakim lain yang menganggotai panel berkenaan ialah Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais, Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Mahkamah antara lain diberitahu, banduan yang hukuman mati mereka telah dikurangkan kepada penjara seumur hidup melalui pengampunan, tidak berhak memohon semakan lanjut di Mahkamah Persekutuan di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori serta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847).

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin berhujah, Akta 847 hanya terpakai kepada dua kumpulan tertentu – banduan yang hukuman mati mereka telah diganti kepada penjara seumur hidup dan mereka yang rayuan pengampunan telah ditolak oleh Lembaga Pengampunan.

Saiful Edris berhujah bahawa melanjutkan hak untuk memohon semakan kepada mereka yang telah diberikan pengampunan akan melampaui skop Akta 847 serta melangkaui hak prerogatif pengampunan yang diperuntukkan secara eksklusif di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata ketiga-tiga banduan, iaitu G. Jiva, 55, warga Thailand Phrueksa Taemchim, 41, dan warga Zambia Mailesi Phiri, 48, masih mempunyai saluran rayuan melalui proses pengampunan di bawah Peraturan-Peraturan Penjara 2000 untuk memohon agar hukuman mereka bermula dari tarikh tangkapan.

Ketiga-tiga mereka, yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah, menerima pengampunan daripada Lembaga Pengampunan yang menukar hukuman mati mereka kepada penjara 30 tahun bermula dari tarikh keputusan lembaga berkenaan.

Mereka kemudiannya memohon kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Akta 847 untuk menyemak semula hukuman berkenaan supaya tempoh penjara mereka dikira bermula dari tarikh tangkap masing-masing.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan pada 27 Ogos 2024, dengan keputusan majoriti 2-1 membenarkan permohonan ketiga-tiga banduan berkenaan.

Dalam prosiding minggu lalu, peguam-peguam yang mewakili ketiga-tiga banduan berhujah bahawa banduan yang tidak lagi menunggu hukuman mati boleh memohon semakan semula di bawah Akta 847.

Peguam Mailesi, Abdul Rashid Ismail berkata, anak guamnya telah menjalani hukuman 14 tahun penjara dan masih berdepan dengan baki 27 tahun.

Sementara itu, peguam Jiva, Datuk N. Sivananthan dibantu oleh Wan Muhamad Yusuf Wan Hussin berhujah bahawa anak guam berada dalam kedudukan yang tidak adil sekiranya dikehendaki menjalani hukuman dari tarikh pengampunan, manakala individu lain dalam kedudukan serupa telah dibebaskan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Ogos 2024.

Beliau berkata anak guamnya berumur 55 tahun dan jika hukuman bermula dari tarikh pengampunan, dia hanya akan dibebaskan ketika berusia 72 tahun.

Peguam K. Simon Murali yang mewakili Phrueksa pula berhujah, anak guamnya tidak dapat memohon semakan di bawah Akta 847 jika permohonannya untuk mengubah tarikh bermulanya hukuman kepada tarikh tangkapan ditolak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast