KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menafikan masalah ketagihan penggunaan gajet khususnya kalangan remaja khususnya para pelajar sekolah.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, bagaimanapun setakat ini tiada sebarang promosi e-sukan secara aktif dilaksanakan sama ada oleh KBS mahupun Kementerian Pendidikan peringkat sekolah.
“Walau bagaimanapun beberapa sesi libat urus diadakan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Bahagian Sukan, Kurikulum dan Kesenian.
“Hasil libat urus tersebut, KPM telah menyediakan kertas cadangan dan garis panduan mengenai pelaksanaan e-sukan di sekolah.
“Mulai tahun depan, KPM akan menilai dan memberikan sokongan kepada penganjuran e-sukan oleh agensi luar yang melibatkan murid bagi tujuan pengiktirafan markah, pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam soalan tambahannya meminta Hannah mengulas keperluan untuk menggubal garis panduan kepada remaja dan pelajar sekolah susulan tindakan pelajar menggunakan kekerasan akibat terpengaruh dengan e-sukan.
Hannah juga berkata, kerajaan menyedari masalah ketagihan gajet itu, namun KBS kena memainkan peranan dengan menyeimbangkan antara pembangunan dalam kalangan belia dan sukan.
“Untuk yang mewakili Malaysia, tidak timbul isu, kalau mereka ada bakat memang KBS akan menyokong mereka.
“E-sukan salah satu sukan teras yang mempunyai skor tinggi bermaksud persatuan sukan mereka bagus, mereka ada ekosistem yang menyokong pembangunan e-sukan.
“Dalam pasaran di luar sana memang tiada isu dana, ramai yang mengikuti e-sukan, jadi penyumbang ramai,” katanya.
Bagaimanapun kata Hannah, KBS mengambil dasar yang sangat konservatif untuk mempromosikan secara aktif e-sukan di sekolah.
“Buat masa ini, ketagihan gajet dan penggunaan berlebihan dalam kalangan pelajar kekal menjadi kebimbangan. Justeru kawalan dan bimbingan bermula dari rumah oleh ibu bapa amat diperlukan agar minat e-sukan dapat diuruskan dengan seimbang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















