Mohd Razin Razali menerima Ijazah Sarjana Sains Pengurusan Universiti Utara Malaysia di hadapan Pro-Canselor UUM, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin

SINTOK – “Saya berdiri di hadapan panel pemeriksa dengan berpakaian ungu tahanan, tanpa tali leher atau uniform. Namun saya yakin ilmu itulah kebebasan sebenar,” kata Mohd Razin Razali.

Beliau merupakan seorang bekas tahanan Penjara Alor Setar yang mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menamatkan pengajian Sarjana Sains Pengurusan (Mod Penyelidikan) di Universiti Utara Malaysia (UUM), walaupun menuntut dari sebalik tirai besi.

Penuntut berusia 35 tahun itu berkata, kejayaan tersebut menjadi simbol penerimaan semula dirinya sebagai manusia, bukan sekadar bekas tahanan.

“Saya menyiapkan tesis dan menjalani sesi viva dari dalam penjara dengan segala kekangan kemudahan termasuk ruang belajar terhad, ketiadaan internet dan bahan bacaan yang minimum.

“Apabila diumumkan lulus viva, saya menitiskan air mata kerana menganggap ia kemenangan terhadap segala keterbatasan,” katanya yang menerima ijazah sarjana itu di hadapan Pro-Canselor UUM, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, hari ini.

Majlis Konvokesyen UUM ke-38 berlangsung bermula 9 hingga 13 November ini.

Menurut Mohd Razin, ibunya menjadi sumber kekuatan utama sepanjang tempoh mencabar itu, sentiasa berdoa dan memberi dorongan agar dia terus bersemangat menamatkan pengajian.

“Kini saya bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian, malah dibebaskan dari penjara. Ini kemenangan berganda buat saya,” katanya.

Sementara itu, UUM dalam kenyataannya di Facebook menzahirkan penghargaan terhadap ketabahan penuntut berkenaan yang pernah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada tahun 2022 dan menghabiskan tiga tahun dalam tahanan reman sebelum dibebaskan selepas mahkamah mendapati beliau tidak bersalah pada 1 April lalu.

Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh berkenaan penuntut tersebut dibenarkan meneruskan pengajian dengan sokongan Prof. Madya Dr. Zulkiflee Daud dan Dr. Mazli Mutazam, selain keprihatinan Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan serta kerjasama pihak Penjara Alor Setar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast