Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mendedahkan terdapat kerajaan negeri enggan mengambil alih hak milik kemudahan sukan seperti stadium mini yang dibina menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, beberapa kerajaan negeri terlibat menolak pemberian itu dengan memberi alasan kos penyelenggaraan tahunan yang tinggi sekiranya kemudahan itu dipindah milik.

“Anggaran kos penyelenggaraan dan mengurus stadium mini meliputi kerja-kerja penyelenggaraan berkala, kontrak pembersihan, penggantian peralatan dan lain-lain berjumlah RM170,000 setahun.

“Masalah kita adalah senarai wishlist kerajaan negeri kena ada projek tersebut kerana selepas pembinaan oleh Kerajaan Persekutuan, perlu kita serahkan kepada kerajaan negeri untuk penyelenggaraan.

“Ada banyak projek di mana kerajaan negeri tidak mahu menyelenggara kerana kos terlalu tinggi.

“Kita ada beberapa kes di mana, kita sudah bina, nak serahkan, kerajaan negeri kata maaf kita tak nak projek ini kerana kita tak mampu untuk menyelenggara,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dalam soalan tambahan meminta penjelasan Yeoh mengenai cadangan pembinaan stadium mini dan penyediaan kemudahan sukan lain berjumlah RM10 juta dalam Parlimen Bukit Gantang yang ditolak kerajaan.

Yeoh berkata, Kementerian Ekonomi tidak dapat menunaikan permintaan itu kerana ia bukan sahaja datang daripada wakil rakyat sahaja, bahkan banyak pihak meminta untuk bina stadium mini di kawasan masing-masing.

“Anggaran kos bagi membina sebuah stadium mini baharu meliputi skop pembinaan astaka, trek balapan, dan padang sintetik atas lampu limpah dan pejabat pentadbiran adalah sebanyak RM13 juta.

“Di Parlimen Bukit Gantang sahaja, kita ada empat kemudahan di DUN berlainan, padang bola sepak, sepak takraw di Kampung Padang Kunyit di Trong, gelanggang futsal di Changkat Jering dan padang bola sepak di Kuala Sepetang,” katanya.

Selain itu, kata Yeoh, ketidakupayaan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tiada kemampuan untuk menyelenggara stadium mini kerana jumlah kejohanan yang rendah dan sukar mengutip hasil.

“Oleh sebab itu, kita mahu bina banyak stadium mini di semua tempat, ada banyak stadium mini di peringkat negeri dan PBT, apabila tak cukup kejohanan, mereka tak dapat jumlah hasil untuk menyelenggara stadium mini.

“Yang ada kebanyakan di parkir kereta di sekitar stadium ialah pasar malam, pasar seni, atau pasar tani.

“Kita guna banyak dana kita untuk menaiktaraf kemudahan sedia ada,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast