Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Seramai 837 rakyat Malaysia sedang ditahan atau dijatuhi hukuman di luar negara atas kesalahan jenayah komersial merangkumi penipuan dalam talian setakat 8 November lalu.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, daripada jumlah itu, majoritinya merupakan berbangsa Cina dengan 765 rakyat Malaysia.

“Selain itu, seramai 34 rakyat Malaysia yang sedang ditahan dan dijatuhi hukuman di luar negara pula berbangsa Melayu manakala 33 lagi berbangsa India dan lima lagi merupakan lain-lain bangsa,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Wong Shu Qi (Kluang- PH) meminta Menteri Luar Negeri menyatakan bilangan warganegara Malaysia yang sedang ditahan atau telah dijatuhi hukuman di luar negara sehingga kini melibatkan kes penipuan dalam talian.

Jelas Mohamad, daripada jumlah itu juga, seramai 545 rakyat Malaysia termasuk 505 lelaki dan 40 perempuan kini ditahan di Republik Rakyat China.

Keberadaan rakyat Malaysia di luar negara diikuti di Singapura (162), Jepun (34), Republik Korea (22), India (20), Indonesia (11), Thailand (10), Vietnam (8), Sri Lanka (6), Lao PDR (5), Cambodia (4) dan Arab Saudi (3).

Rakyat Malaysia turut ditahan dan dijatuhi hukuman di Nigeria (3), Brunei Darussalam (2), Poland (1) dan Sepanyol (1),” katanya.

Katanya lagi, Kementerian Luar Negeri menasihatkan warganegara Malaysia yang bercadang untuk mengembara ke luar negara sentiasa berwaspada dan memahami undang-undang di negara berkenaan.

“Seboleh-bolehnya kita mahu rakyat Malaysia menjadi pelancong yang cemerlang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast