KOTA TINGGI – Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke Bahrain baru-baru ini adalah langkah penting memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan keakraban antara Malaysia dan negara berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut mengiringi baginda dalam lawatan tersebut berkata, hubungan baik antara Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa, diyakini akan membawa pelbagai manfaat strategik kepada Malaysia.
“Pendirian Malaysia yang bersifat berkecuali dalam banyak isu antarabangsa kadangkala menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan beberapa negara lain.
“Justeru hubungan diplomatik yang kukuh dengan negara-negara sahabat seperti Bahrain amat penting bagi memastikan sokongan berterusan terhadap Malaysia di peringkat global.
“Seperti saya jelaskan negara kita mengambil pendekatan dan pendirian berkecuali dalam banyak perkara, dan kadang-kadang banyak negara tidak senang dengan pendirian dan juga kenyataan-kenyataan yang kita buat.
“Oleh itu penting untuk kita juga mempunyai negara-negara yang rapat dengan kita, akrab dengan kita, faham kita yang supaya dan akan terus-menerus memberi sokongan kepada kita.
“Jadi Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan untuk menjalinkan hubungan yang akrab, rapat sebegitu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Projek Sekolah Angkat Madani 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Heng di sini, hari ini.
Bahrain kekal antara rakan dagang utama Malaysia di rantau Asia Barat dan merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-11 terbesar dan sumber import kelapan terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.- MalaysiaGazette
















