Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor bertegas supaya Datuk Seri Amirudin Shari perlu kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Ketuanya, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi berkata, ia memandangkan rekod kepimpinan Amirudin berjaya mengekalkan kestabilan pentadbiran negeri selain meneruskan agenda pembangunan yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Amirudin juga telah membuktikan keupayaannya memimpin Selangor sebagai negeri termaju di Malaysia melalui pentadbiran yang penuh cekap, berintegriti dan inisiatif jangka panjang yang berpaksikan rakyat.

“Rekod pencapaian ini jelas menunjukkan kredibilitinya sebagai sosok yang paling layak menerajui kepimpinan negeri ketika ini.

“Disebabkan itu, AMK Selangor menolak sebarang bentuk spekulasi yang cuba menggugat kestabilan pentadbiran negeri dengan menimbulkan desas-desus tentang usaha menukar Menteri Besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi

Beliau mengulas mengenai laporan portal berita yang mendakwa bakal berlaku perubahan pucuk pimpinan di Selangor dalam masa terdekat dengan Amirudin dijangka menggantikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Malah laporan itu turut mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan lebih cenderung memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Dr Mohammad Fahmi Ngah bagi menggantikan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor.

Sementara itu, Muhammad Iman Haziq berkata, spekulasi tidak berasass tersebut bukan sahaja mengalihkan fokus kerajaan negeri daripada agenda rakyat malah dibimbangi boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan para pemegang taruh.

Sehubungan itu, tegas beliau, AMK Selangor mengingatkan semua pihak termasuk Exco Kerajaan Negeri dan ADUN tidak mengambil kesempatan mencari publisiti murahan dengan melontarkan andaian dan naratif yang tidak berpijak kepada reality.

“Isu perbincangan kepimpinan negeri sepatutnya melalui saluran dalaman parti serta mengutamakan disiplin organisasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast