KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Luar, Tan Sri Anifah Aman disahkan bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah hujung bulan ini.
Pengumuman rasmi itu dibuat oleh Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Majlis Ketua Menteri Bersama Rakyat Bongawan semalam yang turut dihadiri ratusan penduduk setempat dan jentera parti.
Pertandingan di kerusi Bongawan dijangka menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan Anifah (GRS), Datuk Mohamad Alamin dari Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Menteri Luar serta penyandang kerusi, Dr Daud Yusof daripada Parti Warisan.
Hajiji dalam ucapannya menegaskan, pemilihan Anifah sebagai calon bukan sahaja berdasarkan pengalaman luasnya peringkat nasional dan antarabangsa tetapi juga kerana hubungannya yang akrab dengan rakyat Bongawan serta rekod khidmatnya yang terbukti.
“Anifah dulu adalah Ahli Parlimen di sini. Banyak jasa beliau di Bongawan. Kerana itu, saya mohon kita bersatu hati dan mantapkan jentera untuk memastikan Anifah menang,” katanya.

Ketua Menteri itu yakin kekuatan jentera GRS yang mantap disertai sokongan padu rakyat mampu memastikan kemenangan calon gabungan itu di Bongawan.
“Kalau GRS sebagai parti komponennya bersatu padu dan mendapat sokongan rakyat, saya yakin Bongawan akan menjadi milik calon GRS. Kita mahu menang supaya kerja pembangunan dapat diteruskan,” tambahnya.
Hajiji turut menegaskan, pengalaman luas Anifah sebagai bekas Menteri Luar akan menjadi aset penting kepada Sabah dalam memacu pembangunan dan membuka ruang kerjasama antarabangsa yang lebih luas.
“Calon kita ini (Anifah) pernah menjadi Menteri Luar bukan sahaja rakyat di Bongawan bangga, kita di Tuaran pun bangga. Kita mahu beliau berkhidmat membantu Kerajaan Sabah selepas ini,” katanya.
Hajiji turut menyuarakan keyakinan terhadap keupayaan GRS untuk kembali membentuk kerajaan negeri selepas PRN17 pada 29 November ini sambil menegaskan kepentingan kestabilan politik demi kesinambungan pembangunan Sabah.
Beliau juga mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang yang disifatkannya sebagai ‘penjual ubat politik’ dengan janji manis yang sukar ditepati.
“Jangan dengar cakap pembangkang. Mereka akan datang ‘menjual ubat’, berjanji macam-macam. Ada yang pernah jadi menteri dan ketua menteri tapi apa mereka buat?
“Masalah air, jalan dan elektrik luar bandar tidak selesai pun.
“Sekarang mereka kata GRS gagal tapi yang gagal sebenarnya ialah mereka. Cakap sana sini macam mereka saja pandai,” ujarnya.
Dengan pengumuman itu, Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) kini kembali ke pentas utama politik negeri selepas beberapa tahun menumpukan perhatian terhadap usaha pembangunan komuniti dan ekonomi rakyat.
Kemunculan semula tokoh berpengalaman itu dijangka menjadikan DUN Bongawan antara kerusi paling hangat dan strategik dalam PRN17 Sabah, dengan pemerhati politik melihatnya sebagai medan penting yang bakal menguji kekuatan sebenar GRS di pantai barat selatan negeri itu. – MalaysiaGazette
















