Hasil pemeriksaan menemui sebuah sampan kayu yang ditinggalkan bersama empat guni bertulisan Thailand.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 67.48 kilogram dadah jenis bunga ganja bernilai lebih RM6.2 juta dalam satu serbuan di kawasan Tambak Persisiran Pantai Bukit Putih menerusi hasil maklumat risikan daripada Pasukan Risikan Ibu Pejabat JKDM serta unit ampoma bermula sejak 13 Oktober lalu.

Menurut Pengarah Kastam Negeri Kedah, Wan Marini Wan Hamzah, serbuan telah dijalankan sekitar 10 malam dan turut disertai Pasukan Penguatkuasaan Marin Langkawi dan pasukan elit Customs Operational Battle Force Response Assault (COBRA).

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dadah tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran menggunakan sampan kayu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan menemui sebuah sampan kayu yang ditinggalkan bersama empat guni bertulisan Thailand. Pemeriksaan lanjut menemukan dadah jenis bunga ganja seberat 67.48 kilogram dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM6,209,816,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, serta sekurang-kurangnya 15 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Dalam pada itu, Wan Marini menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan kepada JKDM melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.

“Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan yang bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, tetapi turut mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast