BAYAN LEPAS – Penutupan Jalan Kenari di Sungai Ara dilanjutkan sehingga 18 November ini selepas kerja pembaikan lubang benam oleh Indah Water Konsortium (IWK) masih belum selesai berikutan cuaca tidak menentu.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, lanjutan itu dipohon IWK kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Barat Daya bagi memastikan keselamatan pengguna jalan dan pekerja di lokasi terbabit.
“Kerja pengorekan sedalam lapan meter sedang dijalankan dan setakat ini enam meter sudah siap digali selain kerja perlindungan tanah (soil protection) turut dilakukan.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, IWK menutup sementara saluran paip kumbahan di jalan berkenaan dan melencongkan aliran ke paip berhampiran bagi memastikan sistem kumbahan kekal berfungsi,” katanya dalam kenyataan.
Zairil turut meminta orang ramai khususnya penduduk sekitar dan pengguna jalan supaya bersabar serta berhati-hati sepanjang tempoh kerja dijalankan.
Media sebelum ini melaporkan Jalan Kenari ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan selepas kejadian lubang benam selebar lima meter berlaku kira-kira pukul 4.50 petang pada 4 November lalu.
Selain itu, Zairil turut menafikan dakwaan insiden lubang benam di beberapa kawasan di negeri ini berpunca daripada kerja projek Transit Aliran Ringan sebaliknya disebabkan paip lama milik IWK yang sudah uzur. – MalaysiaGazette
















