Wong Hon Wai.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menegaskan kedudukan negeri itu sebagai sebuah negeri berdaulat telah termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan 1957.

Ia susulan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan pihaknya kini berada pada fasa akhir untuk memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan berkaitan kedudukan hubungan dengan Pulau Pinang.

Ahli Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, menurut Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan 1957, Pulau Pinang disenaraikan sebagai salah satu negeri yang membentuk Persekutuan sama taraf dengan negeri-negeri lain.

“Perkara itu bukan sahaja satu pengiktirafan daripada segi perundangan malah mencerminkan kedudukan penting Pulau Pinang dalam struktur sejarah dan Persekutuan Malaysia.

“Perlembagaan Persekutuan 1957 membuka lembaran baharu dalam sejarah serta mengatasi segala dokumen yang berlaku sebelum itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hon Wai, tindakan membangkitkan perkara lama yang berusia lebih 200 tahun amat dikesali kerana ia tidak membawa sebarang manfaat.

“Sepatutnya Menteri Besar Kedah menjuruskan tenaga beliau untuk menarik pelaburan dan merancang pembangunan di negeri beliau bukannya memulakan satu polemik yang tidak berhasil,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kedah dalam fasa akhir muktamadkan tindakan perundangan terhadap P.Pinang

Media semalam melaporkan Kerajaan Negeri Kedah kini berada pada fasa akhir untuk memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan berkaitan kedudukan hubungan dengan Pulau Pinang.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, lantikan peguam itu bagi melaksanakan analisis, penyediaan dokumen serta proses perundangan di mahkamah.

“Insya-Allah, perkembangan selanjutnya akan menyusul dalam tempoh sebulan dua lagi,” katanya.

Untuk rekod, pada 2021, kerajaan Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan, selepas pajakan itu tidak pernah dinilai semula sejak 1786. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast