Bangunan Istana Kehakiman di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan Pelangi Prestasi Sdn. Bhd. untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi RM85.7 juta kepada Sabah Forest Industries Sdn. Bhd. (SFI) dan dua yang lain berhubung perlanggaran perjanjian jual beli (SPA).

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohamed Zaini Mazlan sebulat suara membenarkan penangguhan tanpa syarat yang dipohon oleh syarikat milik ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dengan kos RM30,000.

Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Hakim K. Muniandy memutuskan demikian sementara menunggu rayuan Pelangi Prestasi terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, bulan lalu.

Pada 15 Oktober lalu, Hakim Soo Tiang Joo memerintahkan syarikat itu membayar ganti rugi RM85.75 juta kepada SFI, Grant Thornton Consulting Sdn. Bhd. dan Datuk C. Narendrakumar.

Jumlah kini mencecah RM100 juta termasuk faedah.

Pada prosiding hari ini, peguam Steven Thiru dan Alex De Silva berhujah bagi pihak Pelangi Prestasi manakala Sanjay Mohan dan A.G. Kalidas mewakili ketiga-tiga responden.

Ketika berhujah, Steven berkata, SFI diisytiharkan muflis dan telah digulung pada 2021 serta menanggung hutang melebihi RM1 billion.

Beliau bimbang jika Pelangi Prestasi membayar ganti rugi, dikhuatiri SFI akan menggunakan jumlah itu untuk membayar hutangnya.

“Pelangi Prestasi bimbang sekiranya rayuan diluluskan, bagaimana SFI mahu mengembalikan ganti rugi itu (yang telah dibayar) dalam keadaan ia berstatus muflis dan berhutang besar.

“Jika jumlah RM87.5 juta itu dibayar sekarang, ia berisiko digunakan untuk membayar pemiutang dan (wang tersebut) mungkin tidak dapat diperoleh semula,” katanya.

Sementara itu, Sanjay berhujah, tidak timbul isu SFI tidak mampu membayar kerana syarikat itu masih mempunyai aset dan keupayaan untuk membuat pembayaran.

Peguam itu memohon Pelangi Prestasi membayar ganti rugi atau sekurang-kurangnya RM70 juta dimasukkan ke dalam akaun pemegang amanah untuk memastikan jumlah itu tidak diganggu.

Kalidas turut berhujah, ganti rugi diberikan apabila injunksi 2019 yang dikenakan oleh Pelangi Prestasi untuk menghalang SFI daripada berurusan atau menjual aset mereka kepada mana-mana pembeli lain, telah diketepikan dan saman Pelangi Prestasi telah dibatalkan.

Pada 4 April 2018, Pelangi Prestasi menandatangani SPA dengan SFI bagi pembelian aset syarikat itu bernilai RM1.2 bilion, tertakluk kepada beberapa prasyarat termasuk kelulusan Kerajaan Negeri Sabah serta pengeluaran lesen pembalakan baharu kepada plaintif.

Di bawah perjanjian itu, Pelangi Prestasi akan mengambil alih kawalan ke atas SFI, termasuk semua aset, hak milik tanah dan lesen kayunya.

Namun, pada 30 April 2019, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak mengeluarkan lesen pembalakan kepada Pelangi Prestasi menyebabkan SFI menganggap SPA tersebut terbatal secara automatik kerana syarat utama tidak dipenuhi. Pelangi Prestasi menyatakan ia masih sah.

Pada 12 April 2019, Pelangi Prestasi memfailkan saman di Mahkamah Tinggi berhubung perlanggaran SPA dan memohon perintah injunksi untuk menghalang SFI daripada menjual asetnya kepada pihak lain sementara menunggu keputusan kes.

Pada 2022, Mahkamah Rayuan membatalkan saman Pelangi Prestasi 2019 terhadap SFI, dan injunksi itu telah diketepikan.

Pada 18 Januari 2023, Mahkamah Persekutuan juga telah menolak kebenaran Pelangi Prestasi untuk merayu agar saman itu dikembalikan semula, dan pada 20 Februari 2023, notis permohonan telah dibuat untuk taksiran ganti rugi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast