KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Khas (PPK) Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) komited untuk menyelesaikan siasatan dakwaan kegagalan pengesahan dokumen pengenalan dan pematuhan Prosedur Operasi Standard dalam proses kewarganegaraan tujuh pemain naturalisasi Malaysia dalam tempoh tiga bulan.

Ia selaras dengan mandat Suruhanjaya ini di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

Suruhanjaya itu berkata, mesyuarat kali pertama yang diadakan hari ini dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi EAIC Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham selaku Pengerusi Pasukan Petugas Khas.

Ia turut dihadiri ahli-ahli Suruhanjaya Datuk Ong Lam Kiat dan Datuk Siti Zainab Omar serta pegawai-pegawai kanan daripada Bahagian Operasi EAIC.

“Mesyuarat pada hari ini memutuskan Datuk Seri Dr. Yusof Ismail, yang sebelum ini diumumkan sebagai ahli Pasukan Petugas Khas, digugurkan daripada senarai ahli pasukan.

“Ini selepas mengambil kira potensi konflik kepentingan dengan kedudukannya sebagai Ahli Jawatankuasa Siasatan Bebas (Independent Investigation Committee – IIC) oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” kata EAIC dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, mesyuarat itu juga menetapkan Terma Rujukan Pasukan Petugas Khas bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, bebas dan berintegriti.

Menurut kenyataan itu, Pasukan Petugas Khas EAIC akan meneliti secara mendalam aspek integriti, tadbir urus dan pematuhan prosedur dalam pengurusan serta pengesahan dokumen pemain-pemain berkenaan. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast