KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memanggil sidang Jemaah Menteri Khas petang ini bagi membincangkan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai Hak Tuntutan 40 peratus Sabah.
Anwar berkata, sidang khas itu antara lain akan memanggil Peguam Negara bagi memberi nasihat perundangan dan kemudiannya Jemaah Menteri akan membuat keputusan.
“Seperti mana saya telah umumkan semalam di Tawau, pandangan peribadi saya tentang 40 peratus menghormati keputusan hakim itu saya sudah suarakan tetapi dia belum lagi dengar secara rasmi pandangan Peguam Negara.
“Ini kerana keputusan penghakiman siap pada Jumaat, petangnya Jabatan Peguam Negara memaklumkan mereka akan teliti maka saya panggil sidang Jemaah Menteri Khas petang ini untuk mendengar dulu pandangan Peguam Negara.
“Ada orang tanya mengapa tak boleh buat keputusan awal? Tak boleh, kita ada prosesnya, Peguam Negara itu penasihat kepada kerajaan, jadi kita kena dengar kemudian Jemaah Menteri bincang dan putuskan,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 7 November lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah membenarkan permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) dan mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan semakan kadar pemberian khas tersebut dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.
Mahkamah turut membatalkan sebahagian keputusan yang terkandung dalam tiga Warta Persekutuan, masing-masing bertarikh 20 April 2022, 24 Disember 2023 dan 27 Ogos 2025 kerana didapati bercanggah dengan kedudukan Perlembagaan mengenai pemberian khas Sabah.
Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid dalam prosiding terbuka.
Terdahulu Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu @Aman bertanya mengenai status berhubung keputusan kehakiman terkait tuntutan Kerajaan Negeri Sabah dan sejauh mana ia memberi kesan kepada perancangan dasar ekonomi Madani secara keseluruhan pada tahun-tahun mendatang.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menafikan dakwaan kononnya rundingan dua kerajaan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu tidak wujud dalam Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II sebelum ini.
“Perkara ini dibangkit, jadi kalau kata tidak ada rundingan, itu tidak benar, ada rundingan, dimuktamadkan setelah mesyuarat Perdana Menteri termasuk Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah.
“Ia tidak dapat dimuktamadkan, maka disebut interim, jadi sebab itu dari RM50 juta, RM26 juta, RM157 juta semasa Bera (Datuk Seri Ismail Sabri) jadi Perdana Menteri pun naik. Semua ini kerajaan dulu terlibat, tidak mudah jadi isu politiknya.
“Cuma saya telah diperingatkan oleh Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah, saya fikir wajar diberi pertimbangan serius.
“Maka kita naikkan ke RM600 juta, itu pun disebut interim sebagai sementara kerana melihat kepada peruntukan daripada negara.
“Itu juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, apa dihasilkan daripada Sabah yang RM10 bilion, kita perincikan dan apa RM17 bilion yang dibelanjakan,” katanya lagi.
Menurut Anwar, secara prinsipnya, Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan mandamus Kota Kinabalu itu untuk melaksanakan pembayaran 40 peratus kepada Sabah.
“Ada peruntukan-peruntukan memang syarat Kerajaan Persekutuan seperti pendidikan, kesihatan dan pertahanan tetapi pembangunan kita boleh kurangkan.
“Kalau isunya 40 peratus, kita kurangkan pembangunan, kita tampung 40 peratus kepada negeri.
“Sebab itu saya katakan, keputusan kita harus dilihat keseluruhannya, keupayaan, tak perlu ada pertelagahan kerana Kerajaan Madani setuju untuk menerima kenyataan 112C dan 112D, setuju pada prinsipnya,” katanya.
Jelas Anwar, Kerajaan Persekutuan sebenarnya sudah mula memulakan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah, bagaimanapun keputusannya sementara kerana Ketua Menteri ketika ini interim.
“Dah mula berunding pun, cuma kita kena lihat keseluruhannya cuma sekarang ini kerajaan sementara (Sabah) kita tak boleh berunding.
“Jadi tubuhnya kerajaan, mungkin minggu pertama Disember, saya akan arahkan supaya menyegerakan rundingan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















