KLUANG – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan empat pasangan kerana berkhalwat di sebuah hotel di bandar ini dalam operasi sehingga awal pagi ini.
Operasi dilakukan JAINJ dari pukul 11 malam tadi hingga 3 pagi itu dilakukan di hotel berkenaan yang penuh tempahan walaupun tidak ada program di daerah itu pada malam tersebut.
Menurut JAINJ, antara pasangan ditangkap melibatkan lelaki bujang dan anak dara masing-masing berumur 20-an.
“Wanita datang dari Muar untuk menghadiri majlis perkahwinan rakannya di Kluang. Lelaki pula datang ke bilik untuk teman wanita tersebut yang dikatakan kesunyian seorang diri,” menurut kenyataan itu.
JAINJ memberitahu, satu lagi pasangan membabitkan lelaki berstatus duda dan wanita yang masih belum berkahwin dan kedua-duanya berusia 30-an.
Sementara itu, satu lagi pasangan melibatkan lelaki dari daerah itu dan wanita pula dari Kulai, kedua-duanya berusia 20-an.
“Mereka merancang pertemuan hujung minggu selepas dapat gaji. Sementara pasangan keempat pula melibatkan suami dan isteri orang berumur 50 dan 40-an.
“Mereka menaiki motosikal datang dari sebuah negeri di utara dengan alasan mahu jumpa seseorang di sini,” tambah kenyataan tersebut.
Semua pasangan ditangkap atas kesalahan khalwat Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.- MalaysiaGazette
















