Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hadir pada Simposium Kecerdasan Buatan Transformasi Keselamatan 2025 di Hotel Marriott, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 12 NOVEMBER 2025

PUTRAJAYA – Datuk Seri Saifuddin Nasution  tidak mempunyai maklumat mengenai spekulasi kepulangan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bakal menyertai Kabinet.

Malah Menteri Dalam Negeri itu menjelaskan, beliau tidak tahu menahu tentang desas-desus berlaku rombakan Kabinet pada Disember ini.

“Saya tidak ada apa-apa maklumat KJ kembali ke Kabinet,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Kecerdasan Buatan (AI) Transformasi Keselamatan 2025 di sini hari ini.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan kemungkinan terdapat rombakan Kabinet yang dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal Disember ini.

Laporan memetik sumber itu dikatakan bakal menjadi antara penyusunan semula paling signifikan sejak penubuhan kerajaan Madani dengan tumpuan kepada pengukuhan pasukan ekonomi, pengurangan saiz Kabinet dan kesinambungan perkhidmatan menteri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Simposium Kecerdasan Buatan Transformasi Keselamatan 2025 di Hotel Marriott, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 12 NOVEMBER 2025

Antara yang disebut-sebut akan menyertai Kabinet Anwar adalah Khairy yang akan kembali ke Kabinet sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air serta Datuk Seri Johari Abdul Ghani dijangka menerajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Mengulas lanjut, Saifuddin memberitahu, beliau pernah diminta oleh Perdana Menteri untuk memberi pandangan dalam penyusunan Kabinet pada awal pembentukan kerajaan pada November 2022.

“Tetapi sekarang, setelah tiga tahun beliau menjadi Perdana Menteri, saya fikir beliau mempunyai kedudukan terbaik untuk menyusun barisan Jemaah Menteri,” katanya.

Ketika ditanya mengenai spekulasi rombakan Kabinet yang dikatakan akan diumumkan pada awal Disember ini, Saifuddin menegaskan, perkara itu tidak pernah dibincangkan bersama Perdana Menteri walaupun mereka sering bertemu.

“Saya hari-hari dengan Perdana Menteri tapi tak pernah tajuk itu kami bincang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast