ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini membentangkan Belanjawan Johor 2026 berjumlah RM2.55 bilion iaitu tertinggi dalam sejarah negeri.

Belanjawan tersebut dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, di sini.

“Jumlah tertinggi dalam sejarah negeri ini menandakan keupayaan fiskal yang kukuh serta pengurusan kewangan yang berhemah.

“Belanjawan Johor 2026 merupakan belanjawan surplus yang berteraskan prinsip amanah dan kesejahteraan rakyat, mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk menyeimbangkan pembangunan ekonomi dengan tanggungjawab sosial.

“Setiap sen hasil negeri akan dibelanjakan secara berfokus, telus dan memberi manfaat langsung kepada Bangsa Johor,” katanya ketika membentangkan belanjawan tersebut.

Katanya, keutamaan diberikan kepada sektor-sektor yang menyentuh kepentingan rakyat termasuk pendidikan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kesihatan, perumahan, infrastruktur luar bandar serta kesejahteraan sosial.

Beliau berkata, keutamaan tersebut turut disokong dengan pelaksanaan pelbagai program berskala besar di bawah Enam Teras Maju Johor, yang menjadi tunjang kepada strategi pembangunan negeri menuju 2030.

Tambahnya, Belanjawan 2026 bukan sahaja memperkukuh asas ekonomi negeri, tetapi turut menzahirkan nilai tanggungjawab moral dan sosial terhadap rakyat.

“Kerajaan negeri komited untuk memastikan setiap perbelanjaan memberi pulangan nyata dalam bentuk kesejahteraan, kemajuan dan kemakmuran yang dapat dirasai oleh seluruh Bangsa Johor,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast