Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Perasmian PDRM Special Dialogue IV 2025 di Hotel Sama-Sama, KLIA, Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 November 2025.

SEPANG – Penggunaan aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) dijangka mampu membantu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengatasi isu bayaran kompaun trafik yang tertunggak  lebih RM6 bilion sehingga kini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penggunaan teknologi itu bagi mengenal pasti jumlah sebenar pengguna lalu lintas yang dikenakan kompaun sama ada masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

“Trafik tak sama, peratusan pendakwaan pun tinggi, sebab dia straight forward, tapi trafik berdepan dengan satu isu lain iaitu tunggakan kompaun atau denda lebih RM6 bilion.

“Saya pernah pesan kepada Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (Ketua Pengarah JSPT), kita jangan warisi legasi rekod lama, RM6 bilion entah sejak tahun bila, barangkali orang yang kena itu sudah meninggal.

“Gunakan enjin aplikasi AI, sekejap sahaja boleh proses, dengan syarat dia ada dalam bentuk softcopy (salinan fizikal).

“Kalau ada yang itu (AI), percayalah dua atau tiga jam sahaja kita boleh tunjuk dari RM6 bilion, kalau nama terlibat itu masih hidup ataupun sudah meninggal dunia,” katanya ketika berucap merasmikan PDRM Special Dialogue IV 2025 di Hotel Sama-sama, di sini, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Perasmian PDRM Special Dialogue IV 2025 di Hotel Sama-Sama, KLIA, Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 November 2025.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Saifuddin juga berkata, JSPT kemudiannya boleh membuat perbandingan rekod kompaun tertunggak itu dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan jumlah sebenarnya.

“Kita boleh bandingkan dengan rekod daftar kematian JPN, kemudian dia akan tahu secara tepat adakah RM6.6 bilion ataupun jauh lebih kurang dari situ.

“Jadi kita akan bawa data yang lebih jernih ke depan. Saya ingat yang itu kena buat segera, dan pusat sains data, KSN boleh tolong di pihak KDN kita sudah ada batu loncatan pun perkara itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast