JOHOR BAHRU – UMNO Bahagian Johor Bahru menyifatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal sebagai ‘buta hati’ apabila tidak nampak manfaat Belanjawan Johor 2026.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Johor Bahru, Ahmad Solehin Abd Ghani berkata, kritikannya terhadap belanjawan itu juga membuktikan Dr Sahruddin tidak mampu melihat kejayaan dan kemajuan negeri di bawah pentadbiran hari ini.
Ahmad Solehin berkata, situasi negeri pada masa kini tidak sama ketika beliau menjadi Menteri Besar Johor.
“Ironinya, sewaktu beliau sendiri menjadi Menteri Besar, apa dasar besar yang beliau tinggalkan? Apa reformasi ekonomi yang dicetuskan? Apa pelan jangka panjang yang dibina untuk rakyat?
“Jawapannya tetap sama, tiada. Pentadbiran beliau hanya dikenang sebagai kerajaan singkat tanpa visi, tanpa agenda, dan tanpa impak.
“Hari ini, setelah Johor melakar pencapaian demi pencapaian, barulah beliau muncul sebagai ‘penganalisis politik separuh masa’, mengkritik tanpa fakta, menegur tanpa cadangan dan membangkang tanpa menawarkan apa-apa solusi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam membentangkan Belanjawan Johor 2026 berjumlah RM2.55 bilion iaitu tertinggi dalam sejarah negeri.
Dr Sahruddin kemudian mempersoalkan Belanjawan Johor 2026 sama ada benar-benar memberi manfaat dan menyelesai masalah rakyat yang terus dihimpit kos sara hidup tinggi selain bantuan diberi disifatkan sebagai jangka pendek.
Mengulas lanjut, Ahmad Solehin berkata, hakikatnya belanjawan tersebut adalah paling menyeluruh dan terbesar dalam sejarah negeri ini.
Jelasnya, ini termasuk Bantuan Kasih Johor untuk ratusan ribu rakyat; 8,915 unit Rumah Mampu Milik Johorn(RMMJ) siap pada 2026 dan mewujudkan 64,000 peluang pekerjaan baharu.
Begitu juga katanya, bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pendidikan diperkasa besar-besaran; pertanian, perikanan dan luar bandar dimajukan serta kesihatan dan kebajikan diperluas secara drastik.
“Ini semua jelas tercatat dalam belanjawan, kecuali kepada mereka yang memilih untuk tidak mahu melihat.
“Lebih menghairankan, PN Johor berbicara seolah-olah mereka memiliki rekod cemerlang sedangkan negeri-negeri di bawah pentadbiran PN sendiri jauh tertinggal dari Johor dalam hampir semua indikator: pelaburan, peluang pekerjaan, pembangunan bandar, kesediaan digital, TVET dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Maka katanya, atas kapasiti apa Dr Sahruddin menuduh kerajaan Johor masa kini gagal membantu rakyat?
“Sedangkan Johor hari ini lebih maju daripada mana-mana negeri yang ditadbir PN dan rekod ini bukan retorik, tetapi ia adalah fakta yang terbukti.
“Belanjawan Johor 2026 ialah belanjawan kerja, belanjawan masa depan dan belanjawan yang mengangkat rakyat, bukan belanjawan retorik seperti yang cuba digambarkan oleh PN,” dakwanya.
Beliau menambah, UMNO akan terus mempertahankan rekod pencapaian Johor dan menolak politik pesimis yang hanya tahu menuding jari tanpa membawa apa-apa penyelesaian.- MalaysiaGazette
















