KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga 2025 meningkat berbanding 4.4 peratus pada suku sebelumnya dipacu oleh prestasi kukuh merentas semua sektor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi suku tahunan yang kukuh meletakkan Malaysia di landasan yang betul untuk mencapai paras tinggi sasaran pertumbuhan 2025 sebanyak 4.0 peratus hingga 4.8 peratus.
“Dengan permintaan domestik yang berdaya tahan, pasaran buruh yang stabil dan pelaburan berterusan dalam sektor pertumbuhan dan nilai yang tinggi, Kerajaan sedang membina asas yang kukuh untuk momentum ekonomi yang mampan sepanjang tahun ini,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, prestasi suku ketiga adalah selaras dengan petunjuk ekonomi yang bertambah baik termasuk jumlah guna tenaga kerja meningkat sebanyak 3.1 peratu kepada 17.0 juta orang, manakala pengangguran kekal pada kadar 3 peratus.
Sementara itu, inflasi juga kekal pada kadar 1.3 peratus
Nilai jualan sektor pembuatan pula meningkat sebanyak 3.5 peratus kepada RM500.1 bilion (S2 2025: 3.4%; RM480.2 bilion) terutamanya didorong oleh subsektor makanan, minuman & tembakau (9.2%); dan produk E&E (5.6%).
Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) terus mningkat sebanyak 4.9 peratus berbanding dua peratus pada suku kedua 2025.
Jumlah dagangan berkembang sebanyak 3.7 peratus kepada RM769.8 bilion (S2 2025: 6.1 peratus; RM749 bilion) dengan lebihan dagangan sebanyak RM50.3 bilion (S2 2025: RM14.3 bilion);
Akaun semasa imbangan pembayaran mencatat lebihan sebanyak RM12.2 bilion atau 2.5 peratus daripada PNK (S2 2025: RM0.3 bilion; 0.1 peratys) yang menunjukkan akaun barangan dan perkhidmatan yang berdaya tahan.
Akaun perkhidmatan mencatat lebihan sebanyak RM0.7 bilion selepas 14 tahun merekodkan defisit.
Pelaburan langsung asing (FDI) mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM8.5 bilion (S2 2025: RM1.6 bilion); dan nilai Ringgit kekal stabil pada RM4.2070 berbanding dolar AS, meningkat sebanyak 0.1 peratus dan mengukuhkan kedudukan dalam kalangan mata wang berprestasi terbaik di Asia.
Menurut Anwar, kerajaan akan terus komited untuk memajukan agenda kerangka Ekonomi MADANI dengan melaksanakan pembaharuan struktur dan fiskal bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya saing serta menggalakkan pendigitalan dan pelaburan berkualiti tinggi.
Kerajaan katanya, kekal teguh dalam usaha untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus pada tahun 2025 dan 3.5 peratus pada tahun 2026.
Melangkah ke hadapan, Rancangan Malaysia Ketiga Belas dan Belanjawan MADANI Keempat akan memacu trajektori ekonomi dan terus menyokong usaha untuk melindungi kesejahteraan rakyat di samping memastikan limpahan manfaat pertumbuhan terus dinikmati bersama. -MalaysiaGazette
















