Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM).

KUALA LUMPUR – Dua lelaki berusia 20-an akan didakwa esok di Mahkamah Majistret Petaling Jaya berhubung penemuan mayat seorang jurujual wanita yang ditemui mati dalam keadaan bogel dengan tangan terikat berhampiran bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kes telah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Selangor.

“Kedua-dua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34,”  katanya dalam kenyataan.

Muhamad Farid memaklumkan pihaknya juga telah menahan seorang lagi suspek lelaki tempatan menjadikan jumlah suspek yang ditahan setakat ini lima orang.

“Suspek kelima direman lima hari sehingga 10 November bagi membantu siasatan.” ujarnya.

Tiga lelaki lain sebelum ini direman lima hari bagi reman pertama, disambung tiga hari bagi reman kedua manakala suspek keempat, seorang wanita berusia 30-an direman lima hari dan disambung tiga hari lagi.

Menurutnya, tiga lelaki yang ditahan sebelum ini membabitkan bekas teman lelaki dan abang angkat mangsa manakala suspek keempat adalah rakan serumah mangsa di Taman Castlefield, Cheras.

Sebelum itu, mayat mangsa, berusia 24 tahun dan bekerja sebagai jurujual di Ampang dan Bukit Bintang ditemui orang awam pukul  3.45 petang pada 29 Oktober lalu di Jalan Anggerik, Seri Kembangan.

Laporan bedah siasat berhubung punca kematian masih belum diperoleh dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti motif pembunuhan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast