KUALA LUMPUR – Pelabur asing menamatkan rentetan jualan bersih lima minggu berturut-turut dengan aliran masuk bersih sebanyak RM476.1 juta pada minggu lalu.
MBSB Research berkata, pelabur asing merupakan pembeli bersih pada empat daripada lima hari dagangan minggu lepas dengan hari Selasa menyaksikan aktiviti belian bersih tertinggi pada RM198.2 juta, diikuti oleh Rabu (RM193.9 juta), Isnin (RM60.1 juta), dan Khamis (RM56.3 juta).
Jumaat merupakan satu-satunya hari yang mencatatkan aliran keluar pada -RM32.0 juta.
Firma penyelidikan itu menambah, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuk asing bersih minggu lepas ialah produk & perkhidmatan pengguna (RM240.0 juta), perkhidmatan kewangan (RM227.4 juta), dan produk & perkhidmatan perindustrian (RM181.4 juta).
Sementara itu, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar asing bersih ialah utiliti (-RM134.8 juta), penjagaan kesihatan (-RM58.9 juta), dan REIT (-RM38.1 juta).
Manakala intitusi tempatan menamatkan rentetan pembelian bersih selama lima minggu berturut-turut, mencatatkan aliran keluar sebanyak -RM318.1 juta.
Pelabur runcit temapatan pula meneruskan jualan bersih selama dua minggu berturut-turut, mencatatkan aliran keluar sebanyak -RM158.5 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mengalami penurunan meluas minggu lalu.
Peruncit tempatan dan warga asing masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak -5.0% dan -2.5%, manakala institusi tempatan menyaksikan peningkatan sebanyak +19.7%. – MalaysiaGazette
















