Najib Razak. Gambar fail

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh memulakan prosiding kebankrapan terhadap Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd. Nazifuddin selepas Mahkamah Tinggi hari ini menolak rayuan kedua-duanya untuk mendapatkan penangguhan.

Prosiding itu dikemukakan oleh LHDN selepas kedua-duanya gagal melunaskan tunggakan cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.

Pada 16 Oktober 2023, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa bekas perdana menteri dan anakya perlu menjelaskan cukai tertunggak selepas menolak rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pesuruhjaya Kehakiman, Suhendran Sockanathan @ Saheran Abdullah ketika menyampaikan keputusannya berkata, tiada pembayaran dibuat oleh kedua-duanya setakat ini meskipun selepas penghakiman terus dikeluarkan terhadap mereka.

Oleh yang demikian, beliau berpuas hati, tiada jalan penyelesaian lain yang mewajarkan Najib dan anaknya untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap kedua-duanya.

Bekas perdana menteri dan Mohd. Nazifuddin memohon penangguhan sementara menunggu rayuan di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT).

Kedua-duanya berpendapat, penangguhan itu mempunyai merit atas alasan berkaitan tempoh masa manakala terdapat pengiraan salah terhadap jumlah cukai yang dikenakan.

Bagaimanapun, hakim berkenaan berpendapat, tiada lagi rayuan yang boleh dikemukakan di hadapan beliau kerana merit terhadap rayuan hanya boleh diputuskan oleh SCIT, bukan mahkamah.

“Dakwaan kemudaratan yang tidak boleh dipulihkan misalnya, sama ada jumlah yang telah dibayar adalah untuk tujuan politik dan oleh itu tidak boleh dikenakan cukai pendapatan, tertakluk kepada taksiran dan hanya boleh ditentukan oleh SCIT,” ujarnya.

Kata hakim itu, mahkamah hanya mempunyai bidang kuasa untuk mempercepatkan kutipan cukai manakala penilaian taksiran hanya boleh diputuskan oleh SCIT.

JC Suhendran turut menyatakan, prosiding rayuan tidak menghalang proses kutipan cukai dan tanggungjawab LHDN untuk membuat taksiran cukai.

Sementara itu, peguam Wee Yeong Kang memberitahu pihak media, mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan penangguhan di Mahkamah Rayuan. Pada prosiding itu, LHDN diwakili Peguam Kanan Hasil, Norhisham Ahmad.

Dua Mahkamah Tinggi berasingan sebelum ini membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai daripada Najib dan anaknya bagi tempoh 2011 hingga 2017.

Pada September 2021, Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka untuk mengetepikan penghakiman itu, sebelum Mahkamah Persekutuan pada 10 Mei 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast