KUANTAN – Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan rampasan berjumlah RM826.7 juta bagi tempoh Januari sehingga 15 November tahun ini.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, jumlah menunjukkan peningkatan nilai 800 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Jumlah rampasan itu membabitkan sebanyak 2,210 kes dengan tangkapan 2,085 orang di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Kita akan pertingkatkan lagi kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan dengan operasi merobohkan jeti haram dengan kerjasama palbagai agensi penguatkuasaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengekang aktiviti pencerobohan, penyeludupan, pengedaran dadah, kemasukan warga asing tanpa permit sah dan jenayah rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Komander Briged Tenggara PGA dan Pengerusi PERKEP Briged Tenggara PGA di Mes Pegawai Kanan Briged Tenggara PGA di sini yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA (PGA), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.
Mengulas lanjut, Ahmad Radzi berkata, sebanyak 68 kes daripada jumlah keseluruhan kes yang direkodkan di Pahang dengan tangkapan seramai 105 orang dan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM 432.1 juta.
“Ia hasil Op Hazard pada 21 Mei lepas yang melibatkan serbuan ke atas kilang pemprosesan sisa elektronik di Kampung Simpai, Paloh Hinai, Pekan dan rampasan rokok tidak bercukai pada 25 September lepas di Kampung Padang,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Briged Tenggara PGA juga telah membuka sebanyak 20 kertas siasatan tatatertib ke atas anggotanya kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah, kesalahan jenayah dan salahlaku tata tertib sepanjang tahun ini.
Tambah Ahmad Radzi, seramai tiga anggota telah ditahan kerja, empat digantung kerja serta lima lagi telah dibuang kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan pembolosan.
“Briged Tenggara PGA tidak berkompromi dengan sebarang salah laku, pelanggaran disiplin dan integriti serta pelanggaran undang-undang oleh mana-mana pegawai kanan dan anggota pangkat rendah Briged Tenggara PGA,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















