ISKANDAR PUTERI – Tiga tanah perkuburan Islam utama di sekitar bandar raya Johor Bahru kini disifatkan kritikal apabila pengisiannya sudah mencecah antara 80 hingga 95 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ini melibatkan Tanah Perkuburan Islam Bukit Alif, Tanah Perkuburan Islam Sungai Danga dan Tanah Perkuburan Islam Taman Impian Emas.

Beliau memberitahu, dapatan tersebut adalah berdasarkan data terkini Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Jelasnya, bagi Tanah Perkuburan Islam Bukit Alif yang berkeluasan 21.64 ekar kini berada pada tahap 95 peratus penuh, dengan baki hanya 20 liang.

“Kawasan itu dijangka hanya mampu menampung jenazah untuk tempoh kurang dua bulan.

“Di Tanah Perkuburan Islam Sungai Danga, Perling yang seluas 5.99 ekar (2.4 hektar) turut mencatat 95 peratus penggunaan. Tanah perkuburan Islam ini mempunyai baki kira-kira 100 liang, namun terhad kepada ahli kariah. Tanah perkuburan berkenaan dijangka mencapai kapasiti maksimum kurang daripada setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan BN-Kempas dan BN-Kota Iskandar dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Mohd Fared berkata, di Tanah Perkuburan Islam Taman Impian Emas, Skudai pula yang seluas 5.11 ekar (2 hektar) mempunyai kadar penggunaan kini 80 peratus dengan baki 600 liang, dianggarkan mampu menampung pengebumian untuk tempoh lebih setahun.

Jelas Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, pihaknya mengambil maklum bahawa pertumbuhan penduduk, urbanisasi pesat, dan pembangunan komersial menyebabkan kapasiti tanah perkuburan Islam sedia ada di kawasan bandar dan pinggiran bandar semakin terhad.

Justeru, katanya beberapa tapak tanah perkuburan Islam yang baharu telah dicadang untuk dibangunkan.

“Antaranya Tanah Perkuburan Islam Bukit Rodziah, Gelang Patah yang berkeluasan 10.26 ekar (10.26 hektar) yang sedang dalam projek pembangunan di bawah Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) berjumlah RM1.8 juta yang diperuntukkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Tabung Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Negeri Johor (TPKIJ),” ujarnya.

Tanah perkuburan itu katanya, dijangka siap pada Mei 2026 yang boleh menampung penggunaan untuk tempoh enam tahun.

Beliau memaklumkan, bagi Tanah Perkuburan Islam Taman Setia Eco Garden di Gelang Patah yang berkeluasan 5.08 ekar (2 hektar) juga sedang dalam projek pembangunan berjumlah RM1.5 juta yang disumbangkan Pemaju UEM Sunrise Sdn Bhd.

Tanah perkuburan berkenaan dijangka siap pada 2026 dan penggunaan kawasan terbabit boleh menampung untuk tempoh lima tahun, katanya.

“Selain itu juga, terdapat perancangan yang akan dilaksanakan oleh pihak PBT iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk membangunkan tanah perkuburan Islam di kawasan utara Stadium Mount Austin, yang berkeluasan 12.03 ekar (4.8 hektar) dengan bajet peruntukan sebanyak RM 5.8 juta. Tempoh penggunaannya dijangka sehingga 10 tahun,” katanya.

Jelas Mohd Fared, kerajaan negeri melalui MAINJ dan JAINJ kini juga melaksanakan Pelan Induk Perkuburan Islam Negeri Johor.

Katanya, ini membabitkan kajian kapasiti dan unjuran tempoh 10 hingga 15 tahun bagi setiap daerah mengikut mengikut pertumbuhan penduduk dan kadar kematian.

Pelan itu juga katanya, merangkumi kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenal pasti beberapa tapak strategik baharu di kawasan Bandaraya Johor Bahru bagi menampung keperluan tanah perkuburan di daerah tersebut.

Sebahagian tapak itu kata beliau, sedang dalam proses kelulusan teknikal dan pewartaan dan sebahagian lagi dalam pembangunan serta dijangka siap pada tahun depan.

“Semua projek pembangunan baharu di kawasan bandar dan pinggiran bandar hendaklah merujuk kepada Garis Panduan Perancangan Negeri Johor (Edisi 2019) berkenaan penyediaan tapak kubur, dengan mewajib kemudahan awam termasuk tanah perkuburan Islam seluas 8 ekar (3.2 hektar) bagi pembangunan melebihi 250 ekar (100 hektar) atau lebih.

“Kurang daripada 250 ekar (101.2 hektar), pemaju atau pemilik tidak perlu menyediakan tapak kubur dalam kawasan pembangunan mereka tetapi dikehendaki menyumbang kepada Tabung Amanah Perkuburan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast