Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia menahan tiga warga Jepun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang kerana disyaki cuba menyeludup masuk 12 kilogram kokain ke Malaysia.

KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan
Malaysia (AKPS) menggagalkan cubaan menyeludup masuk dadah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan penahanan tiga lelaki warga Jepun, semalam.

Menurut Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS),  lelaki terbabit tiba dari Bangkok, Thailand melalui penerbangan Malaysia Airlines, MH781.

“Kejadian berlaku sekitar jam 1.45 pagi di Balai Ketibaan ntarabangsa KLIA apabila pegawai AKPS mengesan imej mencurigakan melalui mesin imbasan bagasi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, semasa pemeriksaan fizikal ke atas salah satu daripada enam bagasi dan beberapa beg galas, pegawai AKPS menemukan bahan dipercayai dadah jenis kokain yang diselindungkan dengan menutupi bungkusan tersebut menggunakan ikan bilis dan udang kering, serta dibungkus secara vakum bagi mengaburi pengesanan.

Hasil pemeriksaan keseluruhan bagasi turut mengesahkan bahawa kesemua enam bagasi tersebut mengandungi barangan terlarang iaitu dadah-kokain yang keseluruhannya seberat
12 kilogram yang dianggarkan bernilai RM2.4 juta yang menggunakan kaedah penyamaran yang sama.

Bahan yang dipercayai dadah jenis kokain diselindungkan dengan menutupi bungkusan tersebut menggunakan ikan bilis dan udang kering, serta dibungkus secara vakum bagi mengaburi pengesanan.

“Kesemua suspek telah ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes ini telah diserahkan sepenuhnya kepada Bahagian Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan
lanjut,” ujarnya.

AKPS katanya, kekal komited memperkukuh pemantauan keselamatan dan kerjasama rentas agensi bagi memastikan pintu masuk negara sentiasa terlindung daripada ancaman penyeludupan, khususnya melibatkan dadah berbahaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast