Datuk Chan Foong Hin.

KOTA KINABALU – Calon Pakatan Harapan (PH) Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin melahirkan rasa kesal apabila projek pemindahan dua sekolah di Pulau Gaya bernilai RM260 juta dari kawasan laut ke daratan disalahertikan kononnya dinilai berdasarkan kepada 2,000 pelajar.

Foong Hin yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, projek kompleks pendidikan itu demi menjaga keselamatan pelajar-pelajar Pulau Gaya yang berdepan ancaman hakisan tanah dan ombak hingga menjejaskan struktur sekolah.

“Selepas saya buat pengumuman bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, ada cybertrooper serang saya, dia kata RM260 juta dibahagikan dengan 2,000 pelajar. Mereka dakwa ini satu projek mahal.

“Sebagai kerajaan, kita tidak boleh menafikan hak pelajar-pelajar mendapat akses kepada pendidikan, isu ini (pertikaian kos projek) tidak sepatutnya timbul.

“Pendidikan untuk semua, ia sangat berharga, dia tak boleh letak tanda harga (projek kompleks pendidikan).

“Saya rasa ini satu tanggapan yang amat salah, saya paling geram apabila komen dia (cybertrooper),” katanya ketika ditemui pemberita di Pulau Gaya, di sini, hari ini.

Calon Pakatan Harapan Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin beramah mesra bersama penduduk pada sesi walkabout sempena Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 ketika di kampung Torong Logong, Pulau Gaya, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 19 NOVEMBER 2025.

Terdahulu Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi menghadiri Program Taklimat Kesedaran Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Kampung Torong Logong, Pulau Gaya.

Foong Hin menegaskan, kerajaan boleh melakukan pembangunan kemudahan sekolah sepanjang tahun dan ia dilakukan bukan kerana Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di Sabah, semata-mata.

“Bukan kerana pilihan raya projek ini dilakukan, tanpa pilihan raya pun kerajaan tetap membangunkan kompleks pendidikan demi keselamatan para pelajar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast