KOTA KINABALU – Calon Pakatan Harapan (PH) N.22 Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin memberi bayangan manifesto partinya yang bakal dilancarkan Ahad ini lebih cenderung kepada penyelesaian isu tiga serangkai di Sabah.
Foong Hin berkata, manifesto PH untuk rakyat Sabah tidak menjanjikan bulan dan bintang, sebaliknya komited mahu menyelesaikan masalah air, elektrik dan jalan raya yang masih membelenggu sejak puluhan tahun lamanya.
“Saya fikir manifesto PH kali ini hanya tiga patah perkataan, kembali kepada asas. Ini kerana banyak masalah di Sabah, tak payah nak janji bulan dan bintang.
“Semuanya isu yang sangat asas. Kita bercakap tentang air dan elektrik, ia bukan sesuatu yang tak boleh diselesaikan. Jadi kali ini semangat kita lebih kepada kembali kepada asas,” katanya kepada pemberita di Pulau Gaya, di sini, hari ini.

Terdahulu Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi menghadiri Program Taklimat Kesedaran Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Kampung Torong Logong, Pulau Gaya.
Sebelum ini, media melaporkan PH bakal mengumumkan manifestonya sempena PRN17 di Sabah pada Khamis, sebaliknya ditangguhkan kerana masalah terjemahan kepada Bahasa Kebangsaan.
“Saya pun terlibat dalam membuat draf manifesto PH kali ini, semangat di sebalik manifesto kali ini ialah kembali kepada asas.
“Manifesto PH yang sepatutnya dilancarkan pada Khamis terpaksa ditangguhkan ke Ahad ini kerana masalah terjemahan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















