Lebihan dagangan ke-66 bulan pada Oktober 2025, dengan Eksport barangan perkilangan mengembang 15.7% tahun ke tahun kepada RM126.68 bilion, tertinggi pernah direkodkan.

KUALA LUMPUR – Prestasi perdagangan Malaysia pada Oktober 2025 mencatat peningkatan ketara apabila nilai perdagangan, eksport dan import melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah. Jumlah perdagangan berkembang sebanyak 13.6% tahun ke tahun kepada RM277.65 bilion.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, eksport meningkat bagi empat bulan berturut-turut, naik 15.7% kepada RM148.32 bilion, manakala import bertambah 11.2% kepada RM129.33 bilion.

Lebihan dagangan sebanyak RM18.99 bilion dihasilkan, yang ke-66 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020.

Kesemua sektor utama merekodkan pertumbuhan eksport, dengan sektor perkilangan kekal sebagai pemacu utama, meningkat 15.7% tahun ke tahun kepada rekod tertinggi baharu sebanyak RM126.68 bilion.

Permintaan yang kukuh telah direkodkan bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta barangan optik dan saintifik, kedua-duanya mencatat nilai eksport tertinggi setakat ini.

Sektor hasil galian mengekalkan momentum positif bagi dua bulan berturut-turut, dipacu oleh kenaikan eksport bijih logam dan serpihan logam.

Sementara itu, sektor keluaran pertanian turut mencatatkan pertumbuhan, didorong oleh peningkatan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Malaysia turut merekodkan peningkatan eksport ke rakan dagang utama termasuk ASEAN, China, Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan. Eksport ke negara rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terus mengukuh, dengan peningkatan ketara dicatatkan ke Hong Kong SAR, Mexico, Republik Korea (ROK), Australia, Pakistan, Kanada, Peru dan United Kingdom (UK).

Eksport ke Taiwan dan Hong Kong SAR masing-masing mencapai rekod tertinggi baharu.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025, Malaysia merekodkan nilai 10 bulan pertama tertinggi bagi perdagangan, eksport dan import.

Perdagangan meningkat 5.4% tahun ke tahun kepada RM2.512 trilion, dipacu oleh kenaikan 6.0% eksport kepada RM1.319 trilion dan pertumbuhan 4.7% import kepada RM1.194 trilion.

Lebihan dagangan sebanyak RM125.02 bilion telah direkodkan pada tempoh ini.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 5.2% pada suku ketiga 2025, meningkat daripada 4.4% pada suku sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencerminkan ketahanan berterusan negara dalam menghadapi ketidaktentuan perdagangan global dan tekanan tarif yang berterusan.

MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) kekal komited dalam menyokong pengeksport Malaysia di tengah-tengah tekanan luaran, menggalakkan syarikat untuk mempelbagaikan pasaran, mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan, memantau perkembangan perdagangan global serta memanfaatkan 18 Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia untuk berkembang di peringkat antarabangsa.

Perjanjian Perkongsian EkonomiKomprehensif Malaysia–Emiriah Arab Bersatu (UAE) (CEPA) yang mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2025 turut dijangka membantu pengeksport Malaysia untuk memanfaatkan kedudukan UAE sebagai pintu masuk strategik ke Asia Barat dan seterusnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast