Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Sabah (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar

KOTA KINABALU – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menegur sebuah portal berita kerana melaporkan kenyataan Datuk Seri Hajiji Noor yang mengelirukan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, laporan portal berita itu boleh memberi gambaran yang salah kepada rakyat Sabah.

“Tajuk dan intipati laporan berkenaan tidak menggambarkan maksud sebenar ucapan Datuk Seri Hajiji Noor.

“Laporan itu memberi gambaran salah kepada rakyat Sabah seolah-olah Hajiji memilih untuk tidak mempertahankan hak Sabah mengenai tuntutan hasil 40 peratus.

“Tajuk itu mengelirukan dan dalam ucapan beliau, tiada satu pun kenyataan yang menunjukkan Hajiji ‘enggan mencabar’ perdana menteri,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Terdahulu, sebuah portal berita menyiarkan laporan bertajuk “Tahun hilang’ hak 40 peratus Sabah: Hajiji enggan cabar pendirian PM” menyatakan Hajiji tiada rancangan untuk mencabar pendirian Putrajaya

Hajiji juga dilaporkan berkata, beliau menganggap keputusan berhubung ‘tahun hilang’ iaitu tempoh hasil tidak dikaji semula sebagai tidak adil.

Menurut Zulkarnain, sebaliknya Hajiji sudah menjelaskan bahawa perdana menteri telah menyatakan kerajaan tidak akan merayu terhadap hak 40 peratus itu.

“Rayuan Kerajaan Persekutuan hanya berkaitan beberapa bahagian teknikal dalam keputusan mahkamah, bukan mengenai hak 40 peratus hasil untuk Sabah.

“Hajiji menyebut PM telah menghubunginya dan memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak merayu tentang 40 peratus.

“Beliau menjelaskan  apa yang dirayu hanyalah ayat-ayat tertentu dalam keputusan mahkamah yang dirasakan tidak adil kepada kerajaan dahulu. Itu inti sebenar ucapan,” katanya.

Selain itu, Zulkarnain mendakwa pembingkaian berita oleh portal berita terbabit boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat Sabah, terutamanya mengenai perkembangan rundingan semakan hasil antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan.

“Apabila tajuk diberi gambaran konfrontasi, kononnya Hajiji enggan mencabar PM, ia boleh memberi implikasi buruk kepada imej beliau, sedangkan ucapan penuh Hajiji langsung tidak membawa nada sedemikian.

“Ini tidak adil kepada beliau dan juga kepada rakyat Sabah yang mahu maklumat tepat,” jelasnya.

Beliau turut menyeru agar portal berita itu lebih berhati-hati dalam menafsir dan melapor isu sensitif berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi mengelakkan kekeliruan atau sentimen tidak tepat.

“Saya tidak akan teragak-agak melaporkan perkara ini ke Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sekiranya tiada tindakan segera untuk membetulkan artikel ini.

“Ucapan Hajiji menegaskan rundingan Sabah–Persekutuan berkaitan tuntutan hasil sedang berjalan dan beliau yakin proses itu akan meningkatkan pendapatan negeri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast