BINTULU – Sebuah bot penumpang ditahan Maritim Malaysia selepas didapati melanggar undang-undang pelabuhan dalam pemeriksaan berhampiran muara Sungai Kemena, Sarawak petang semalam.
Menurut Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah, bot peronda yang menjalankan rondaan Op PERMAI 01/2019 dan Op TIRIS 3.0 menahan bot berwarna putih pada kedudukan 1.5 batu nautika barat laut muara Sungai Kemena.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot tersebut dikendalikan dua kru warga tempatan berusia 22 dan 50 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 477(2) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal melaporkan pertukaran nakhoda kepada pegawai pelabuhan yang yang jika disabitkan boleh membawa kepada denda atau kompaun.
“Bot serta kru telah ditahan dan diiringi masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” tambahmya.
Maritim Malaysia turut mengingatkan komuniti maritim agar mematuhi peraturan serta mengutamakan keselamatan di laut, dan menyalurkan sebarang maklumat atau kecemasan melalui talian 999 atau pusat operasi agensi itu di Bintulu dan Sarawak. – MalaysiaGazette















