Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) komited melaksanakan inisiatif biasiswa anak e-Kasih PTPTN. -Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Program Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merekodkan kutipan deposit Simpan SSPN sebanyak RM251.44 juta sekali gus mengatasi sasaran awal RM220 juta atau 114.3 peratus.

Program yang berlangsung dari 26 September hingga 2 November lalu menunjukkan peningkatan kesedaran dalam kalangan ibu bapa mengenai pentingnya membuat simpanan pendidikan tinggi untuk anak-anak sejak awal.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim menyifatkan sokongan rakyat yang begitu memberangsangkan sebagai bukti usaha pemerkasaan penabungan semakin diterima rakyat.

“Penganjuran BMS 2025 adalah manifestasi iltizam PTPTN dalam memperkukuh perancangan kewangan jangka panjang demi pendidikan tinggi negara.

“Pencapaian deposit yang melebihi sasaran bukan hanya menunjukkan keberkesanan kempen ini, tetapi juga mencerminkan perubahan sikap masyarakat terhadap kepentingan menabung sejak awal,” katanya.

Beliau menambah, peningkatan deposit tersebut juga memberi gambaran jelas bahawa ibu bapa kini semakin memahami hubungan antara persediaan kewangan dan peluang pendidikan tinggi anak-anak.

“Saya amat menghargai kesungguhan rakyat Malaysia yang memilih Simpan SSPN sebagai instrumen utama tabungan pendidikan. Ini adalah komitmen besar seorang ibu bapa sebagai ‘adiwira’ kepada anak-anak mereka.

“PTPTN akan terus melaksanakan program berimpak tinggi bagi meningkatkan literasi kewangan dan memastikan lebih ramai keluarga mendapat akses kepada simpanan yang berstruktur dan dijamin kerajaan,” ujar beliau.

Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan negeri, agensi kerajaan, sektor korporat dan swasta untuk menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama dalam pengagihan bantuan atau insentif komuniti kerana ia memberi manfaat jangka panjang kepada penerima.

Simpan SSPN menawarkan pelbagai kelebihan termasuk pelepasaan cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma bagi simpanan minimum RM1,000, geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga yang layak, kadar dividen kompetitif dan patuh syariah dan jaminan kerajaan terhadap simpanan.

BMS yang diperkenalkan sejak 2018 dan dilaksanakan bersempena Hari Tabungan Sedunia setiap 31 Oktober menampilkan pelbagai aktiviti serta pertandingan melibatkan penyertaan ibu bapa dan kanak-kanak dari seluruh negara.

PTPTN akan terus mempergiat program dan inisiatif berimpak tinggi dalam usaha meningkatkan budaya menabung demi menjamin akses pendidikan tinggi yang lebih terancang serta mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman pendidikan.

Maklumat lanjut mengenai Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi http://www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast