GEORGE TOWN – Satu sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan polis selepas seorang lelaki ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM234,900 dalam operasi di sekitar Seberang Perai, dekat sini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah selepas menahan suspek berusia 30 tahun di dalam sebuah kenderaan di Seberang Jaya.
“Kita merampas 18 paket lutsinar berisi heroin seberat 6.2 kilogram (kg), lima paket methamphetamine seberat 1.4 kg, 1,470 biji pil Erimin 5 dan 57 gram pil ekstasi daripada suspek.
“Siasatan lanjut membawa kepada serbuan sebuah rumah di Batu Kawan yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan dadah sebelum merampas 10 bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 10.36 kg serta 20 paket lutsinar berisi heroin seberat 8.97 kg.
“Selain itu, polis turut sita sebuah motosikal Yamaha Y15ZR dan seutas rantai leher berwarna keemasan dengan nilai keseluruhan RM15,900,” katanya di sini.
Tambah Azizee, hasil siasatan lanjut mendapati suspek terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak pertengahan tahun ini selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Suspek kini direman selama seminggu bermula semalam sehingga 25 November bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette















