KOTA KINABALU – Serangan berterusan musuh politik terhadap Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak menghalang beliau untuk mengembalikan gelombang biru dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keberadaan Bung Moktar pada majlis pelancaran Manifesto BN hari ini membuktikan semangatnya masih membara untuk menerajui parti itu di Sabah.
“Kenapa Datuk Seri Bung Moktar tidak membentangkan sendiri sebagai Ketua UMNO Sabah? Kerana semangat beliau cuba dipadamkan oleh musuh-musuh politik beliau, namun beliau tetap bersama-sama dengan kita pada pagi ini.
“Alhamdulillah Datuk Bung jangan risau, beliau bersama-sama dengan rakan-rakan telah membawa kembali UMNO Sabah untuk muncul sebagai satu gelombang biru baharu di Sabah,” katanya berucap merasmikan Manifesto BN, di sini, hari ini.

Manifesto BN sempena Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 kali ini bertemakan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) dan mempunyai enam teras utama.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, walaupun BN sekadar “underdog” di dalam pilihan raya kali ini, namun beliau yakin rakyat Sabah masih merindui jasa dan pembangunan yang dibawa parti nasional itu sebelum ini.
“Tapi yakinlah bahawa kerinduan rakyat Sabah kepada barisan nasional sangat-sangat tinggi.
“Kita mahu BN dengan manifesto yang berasaskan pada enam tonggak ini, benar-benar merupakan aku janji yang akan dilaksanakan oleh BN Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette
















