KUALA LUMPUR – Anak muda menjadi penentu sebenar dalam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pengarah Pilihan Raya Pas untuk PRN Sabah, Tan Sri Annuar Musa berkata, jangkaan itu hasil pertemuannya dengan golongan tersebut di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu, termasuk Kampung Gentisan Karambunai dan Teluk Likas.
Menurut beliau, interaksi bersama anak muda yang berlangsung secara santai namun penuh makna itu memberikan gambaran jelas bahawa kelompok berkenaan bakal memainkan peranan besar dalam menentukan haluan politik negeri ini.
“Saya yakin anak muda bakal menjadi penentu sebenar keputusan PRN kali ini. Ke arah mana sikap mereka, Wallahuaklam,” katanya di Facebook, hari ini.
Annuar yang juga Pengerusi Muafakat menjelaskan, keputusan pilihan politik anak muda akan menentukan sama ada status quo terus dikekalkan atau berlaku perubahan besar dalam landskap pentadbiran Sabah.
“Jika mereka ikut status quo dan mengikut saja ‘establishment’ maka parti kerajaan akan mendapat untung,” katanya.
Namun beliau berpandangan, keadaan boleh berubah sekiranya anak muda memilih untuk menyatakan pendirian tegas terhadap isu rasuah dan ketidakadilan seperti yang pernah dizahirkan menerusi beberapa gerakan sebelum ini.
“Jika mereka zahirkan gelombang ala ‘Justice for Zara’ dan seperti gerakan ‘anak muda benci rasuah’, Sabah bakal melihat satu perubahan besar, malah bakal mencetus gelombang nasional yang lebih besas simbolik dengan penolakan terhadap kerajaan Madani PH BN GRS,” ujarnya.
Dalam pada itu, Annuar turut menggambarkan Sabah sebagai ‘bumi di bawah bayu’ yang kini berada di persimpangan antara perubahan dan kelangsungan politik sedia ada.
“Sabah, bumi di bawah bayu. Apakah bayu membesar menjadi taufan politik, atau bayu sekadar bertiup perlahan dan membawa suasana nyaman untuk terus tidur dan dibuai mimpi…” katanya.
SPR menetapkan 25 November bagi undi awal manakala 29 November sebagai hari pengundian.
Mengikut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pengundi terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini. – MalaysiaGazette
















