KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan bahawa pasukan penguatkuasanya menjalankan pengawasan khusus terhadap parti atau calon tertentu sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Setiausahanya, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, dakwaan tersebut sebagai tidak berasas dan menggesa mana-mana pihak yang mempunyai keraguan agar membuat aduan rasmi kepada SPR atau pihak berkuasa berkaitan.
“Pasukan penguat kuasa ini tidak memberi tumpuan khusus ataupun menyasarkan mana-mana parti mahupun pihak-pihak tertentu. Tuduhan tersebut sebaliknya adalah tidak benar.
“Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang kemusykilan disarankan membuat aduan secara rasmi kepada SPR atau pihak berkuasa yang berkaitan terhadap sebarang salah laku, kecurigaan atau sebarang aduan tentang ketidakpatuhan peraturan dan undang-undang pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Khairul berkata demikian menjawab dakwaan Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Junz Wong pada Jumaat lalu bahawa SPR menekan kempen parti itu, mendakwa pegawai SPR mengekori calonnya serta menguatkuasakan sekatan mengejut yang tidak pernah terpakai dalam pilihan raya terdahulu.
Wong yang bertanding merebut kerusi Tanjung Aru berkata, beliau ‘tidak pernah melihat SPR berkelakuan sedemikian’ sepanjang 18 tahun berkecimpung dalam politik.
Jelas beliau lagi, pasukan penguatkuasa yang beroperasi di bawah Seksyen Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 adalah bertanggungjawab menjalankan pemantauan biasa sepanjang tempoh kempen bagi memastikan semua pihak mematuhi undang-undang pilihan raya.
Khairul menegaskan, SPR tidak menumpukan pengawasan terhadap mana-mana parti secara khusus, sebaliknya pemantauan dilakukan secara adil dan menyeluruh.
“Bagi melaksanakan tanggungjawab tersebut, pasukan penguat kuasa ini menjalankan pemantauan terhadap aktiviti-aktiviti kempen calon bertanding dan menasihati agar semua pihak dapat mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau turut menjemput mana-mana calon yang meragui perlaksanaan pemantauan tersebut supaya membuat laporan rasmi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan, sekali gus menjaga kredibiliti proses pilihan raya.
Tarikh pengundian untuk PRN Sabah ditetapkan pada 29 November 2025, manakala pengundian awal dijadual berlangsung pada 25 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak akan mengundi pada PRN kali ini, termasuk pengundi biasa, anggota tentera dan polis bersama pasangan masing-masing.
Dengan kenyataan ini, SPR berharap dapat membendung spekulasi yang boleh menjejaskan persepsi awam terhadap kesaksamaan dan ketelusan pilihan raya di Sabah. – MalaysiaGazette
















