KUALA LUMPUR -Pelabur asing kembali menjadi penjual bersih minggu lalu dengan melepaskan ekuiti domestik bernilai -RM1.03 bilion pada minggu lalu.
MBSB Research berkata, pelabur asing hanya membuat belian RM17.6 juta pada hari Isnin.
Hari Selasa merekodkan aliran keluar terbesar iaitu sebanyak -RM458.5 juta, diikuti oleh Jumaat (-RM377.7 juta), Rabu (-RM204.1 juta) dan Khamis (-RM11.1 juta).
Menurutnya, hanya dua sektor mencatatkan aliran masuk bersih pelabur asing minggu lalu, iaitu perladangan (RM148.4 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM79.6 juta).
Manakala tiga sektor teratas yang merekodkan aliran keluar bersih pelabur asing ialah produk & perkhidmatan industri (-RM377.2 juta), utiliti (-RM254.4 juta) dan telekomunikasi & media (-RM106.3 juta).
Firma penyelidikan ini menambah, pelabur institusi tempatan pula menjadi pembeli bersih sebanyak RM1.01 bilion selepas merekodkan jualan bersih sebanyak -RM318.0 juta di Bursa Malaysia pada minggu sebelumnya.
Pelabur runcit pula menjadi pembeli bersih sebanyak RM28.1 juta selepas dua minggu berturut-turut mencatatkan jualan bersih.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) adalah bercampur-campur: peruncit tempatan mencatatkan penurunan -0.3%, manakala institusi tempatan dan pelabur asing mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak +2.3% dan +16.8%. – MalaysiaGazette
















