Xisco Munoz bersama-sama barisan pemain JDT menjalani latihan sebelum berdepan dengan Melbourne City FC di Stadium Rectangular Melbourne, Australia esok

JOHOR BAHRU – Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) berazam melakar sejarah baharu pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) berdepan Melbourne City FC di Stadium Rectangular Melbourne, Australia esok.

Pengendali JDT, Xisco Munoz tetap berazam dan berwaspada bagi mengharungi cabaran yang bakal diberikan skuad City Blues itu.

Xisco Munoz sudah menjelaskan kepada setiap anak buahnya bahawa Harimau Selatan perlu berada dalam keadaan bersedia berdepan kelab dari Australia itu.

“Ini kerana pasukan itu dibarisi pemain berbeza berbanding musim lalu malah tidak dinafikan mereka pasukan yang kuat.

“Apa pun, kami hadir ke sana bagi memberikan aksi yang terbaik selain mempamerkan aksi berintensiti tinggi kerana kita tahu mereka juga akan bermain secara agresif,” katanya menjelang perlawanan tersebut.

Justeru katanya, JDT perlu memaksimun corak permainan kerana apabila bermainan di pentas ACLE sudah tentu menuntut aksi yang konsisten

Jelasnya, ini termasuk mengelak daripada melakukan kesilapan mudah yang malah perlu memberi tentangan kepada pasukan lawan dan beri persembahan terbaik.

Sementara itu, Munoz mengesahkan tonggak serangan, Arif Aiman Hanapi tidak akan bersama-sama skuad Harimau Selatan itu pada aksi berkenaan.

Ini kerana katanya, Arif Aiman masih dalam proses pemulihan susulan kecederaan yang dialaminya ketika beraksi bersama-sama skuad Harimau Malaya berdepan Nepal, baru-baru ini.

Bagaimanapun menurut beliau, pihaknya tetap optimis barisan JDT sedia ada mampu menggalas tugas berdepan lawan yang rata-rata dibarisi pemain berkualiti.

“Memang kita terasa kehilangan Arif Aiman dalam skuad JDT dan kita berharap dia akan kembali lebih kuat sebaik pulih daripada kecederaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast