KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengumumkan persediaan untuk melaksanakan satu langkah kawal selia penting iaitu melarang individu di bawah umur 16 tahun daripada mendaftar akaun media sosial, yang dijangka berkuat kuasa pada tahun depan.
Langkah ini bertujuan memastikan keselamatan kanak-kanak di platform digital dan menangani isu-isu serius yang semakin membimbangkan masyarakat.
Keputusan Kabinet itu dibuat selepas mengambil kira masalah jenayah buli siber, pornografi kanak-kanak, penipuan serta kesan negatif terhadap kesihatan mental golongan bawah umur yang semakin meningkat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan bahawa, langkah ini bertujuan melindungi kanak-kanak dan memberi tumpuan kepada keselamatan dalam talian.
Peguam, Dr. Sharen Alzalip, menjelaskan bahawa langkah berkenaan bukan larangan langsung terhadap pengguna, sebaliknya merupakan keperluan pengesahan umur mandatori yang wajib dilaksanakan oleh penyedia platform media sosial.
Menurut beliau, tanggungjawab mengesahkan usia pengguna kini beralih sepenuhnya kepada penyedia platform media sosial. Penguatkuasaan akan dilakukan melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Akta Keselamatan Dalam Talian yang dijangka berkuat kuasa pada 2026, bagi memperkukuh akauntabiliti penyedia platform dalam mengurus kandungan dan melindungi pengguna.
“Mekanisme utama penguatkuasaan adalah melalui sistem eKYC (“electronic-Know-Your-Customer”). Penyedia platform perlu menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport, atau MyDigital ID untuk mengesahkan usia sebelum akaun dibenarkan didaftarkan.
“Jika platform gagal melaksanakan eKYC, ia dianggap melanggar syarat lesen dan boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda tinggi atau penarikan balik lesen operasi di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Sharen turut menekankan cabaran perundangan dan pelaksanaan, termasuk pematuhan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, keseimbangan dengan hak kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan, serta keperluan definisi jelas mengenai istilah “media sosial”.
Cabaran terbesar katanya, ialah menghalang remaja daripada menggunakan dokumen pengenalan orang dewasa untuk mendaftar akaun secara tidak sah.
Sementara itu, peguam Amer Haiqal berpendapat, sekatan ini adalah langkah tepat untuk mengawal selia tingkah laku kanak-kanak dalam talian dan melindungi mereka daripada jenayah siber.

Beliau menambah, walaupun kanak-kanak dilindungi di bawah pelbagai undang-undang termasuk Kanun Keseksaan, Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun peruntukan sedia ada masih belum cukup untuk menangani isu buli siber, pengantunan siber, intai siber dan pornografi kanak-kanak.
“Sekatan ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk mengutamakan perlindungan kanak-kanak dalam ruang digital, seterusnya memastikan platform media sosial menjadi persekitaran yang lebih selamat bagi golongan muda,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















