Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bongawan, Tan Sri Anifah Aman menyantuni penduduk pada sesi walkabout sempena Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 ketika di Pekan Bongawan, Papar, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 20 NOVEMBER 2025.

BONGAWAN – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bongawan menepis dakwaan Warisan kononnya banyak pembangunan dibawa oleh wakil rakyat penyandang, Dr Daud Yusof tidak selari dengan realiti yang dialami rakyat di lapangan sepanjang lima tahun lalu.

Ketua Wanita GRS DUN N30 Bongawan, Ramlah Sidek berkata, pola yang sama berulang setiap kali pilihan raya semakin hampir, apabila Warisan tiba-tiba mengemukakan senarai panjang bantuan, program dan ‘usaha besar’ yang dikatakan dilaksanakan.

“Warisan keliru antara buat kerja dan buat kenyataan. Setiap kali hampir pilihan raya, barulah senarai panjang ‘usaha’ itu muncul.

”Tetapi bila kita turun kampung, rakyat sendiri berkata mereka tidak nampak pembangunan seperti yang didakwa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Wanita GRS Bongawan, Ramlah Sidek.

Menurut beliau, sekiranya benar banyak perubahan dan pembangunan telah berlaku, Bongawan tidak sepatutnya kekal dengan masalah asas yang sama sejak 2018 termasuk jalan rosak, peluang pekerjaan terhad serta projek ekonomi yang tidak pernah direalisasikan.

Ramlah berkata Warisan juga terlalu menumpukan kepada bantuan berskala kecil seperti sumbangan RM2,000–RM3,000 kepada sekolah, baik pulih rumah dan bantuan elektrik kampung.

Walaupun tidak menafikan sumbangan itu bermanfaat, beliau menegaskan ia tidak cukup untuk membawa perubahan struktur kepada ekonomi Bongawan.

“Bantuan kecil itu kita hargai, tetapi itu memang tanggungjawab minimum seorang wakil rakyat. Rakyat mahu lebih daripada itu. Mereka mahu pelan pembangunan ekonomi, peluang kerja dan strategi membangunkan belia, bukan sekadar bantuan tahunan,” katanya.

Mengulas dakwaan Warisan bahawa Kawasan Industri Gas dan Minyak Sabah (SOGT) ‘muram’, Ramlah menegaskan kenyataan itu mencerminkan kegagalan Warisan sendiri mengurus kesinambungan projek strategik semasa mereka menjadi kerajaan negeri.

“SOGT ini inisiatif yang dimulakan oleh Tan Sri Anifah Aman. Bila Warisan jadi kerajaan pada 2018, mereka sepatutnya memperkukuh dan memperkembangkan projek itu. Jika hari ini mereka kata SOGT muram, itu bermakna merekalah yang gagal menghidupkan projek yang sudah tersedia asasnya,” ujar beliau.

Tambahnya,  perbandingan antara calon pembangkang dan calon GRS kini semakin jelas di mata pengundi.

Calon GRS Bongawan, Anifah Aman, katanya, memiliki rangkaian persekutuan, pengalaman menteri dan keupayaan strategik yang tidak dimiliki calon lain.

“Satu pihak sibuk menunjukkan resit bantuan setiap tahun. Satu pihak lagi sibuk membawa rangkaian nasional, pengalaman persekutuan dan hala tuju ekonomi jangka panjang. Rakyat sendiri nampak perbezaannya,” katanya.

Menurut Ramlah, pengundi muda dan pengundi kali pertama juga semakin celik bahawa masa depan Bongawan memerlukan pemimpin bertaraf nasional yang dapat membuka pintu pelaburan, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan menghidupkan kembali projek-projek besar yang terbiar.

“Maklum balas sangat jelas. Orang Bongawan berkata sudah cukup lima tahun eksperimen. Mereka mahu pemimpin yang benar-benar tahu bekerja, bukan sekadar mengumumkan bantuan menjelang pilihan raya.

“GRS menawarkan kepimpinan lebih stabil, konsisten dan berkeupayaan membawa perubahan berskala besar, khususnya melalui peranan dan pengalaman luas Tan Sri Anifah di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Memimpin Bongawan bukan tentang bantuan tahunan. Ia tentang visi, pengalaman, hubungan strategik dan kemampuan membuka peluang. Itu yang rakyat mahukan, dan itu yang Anifah mampu bawa masuk,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast