Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyerahkan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi pihak 276 mangsa skim pelaburan saham hartanah dan Saham Boleh Tebus Syariah (i-RPS) yang didakwa menanggung kerugian keseluruhan berjumlah RM104.94 juta.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim mendedahkan, aduan itu dibuat susulan dakwaan bahawa beberapa syarikat tempatan telah mengambil kesempatan ke atas pelabur dengan menggunakan modal yang diserahkan untuk tujuan lain, selain daripada apa dijanjikan.

Beliau mendedahkan antara mangsa ialah seorang pesara kehilangan RM2.25 juta merangkumi simpanan hidup termasuk Tabung Haji (TH) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas menyertai program tersebut pada November 2022.

“Mangsa ini terpedaya dengan skim pelaburan ini setelah diyakinkan oleh ejen bergelar ‘Datuk’ dan percaya kononnya ia diketuai individu berpengaruh dalam bidang keagamaan.

“Dia dijanjikan dividen 15 peratus dan pada peringkat awal menerima tujuh kali pembayaran. Namun semuanya terhenti sepenuhnya sejak 2024.

“Keseluruhan simpanan hari tuanya hangus dan dia kini terpaksa kembali bekerja untuk menyara keluarga. Ini bukan satu kes terpencilmajoriti mangsa adalah golongan pesara,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Hishamuddin, siasatan awal mendapati syarikat-syarikat yang menawarkan skim pelaburan ini tidak tersenarai sebagai syarikat sah dan dipercayai melaburkan wang mangsa ke beberapa entiti tanpa pengetahuan pelabur.

Beliau berkata modus operandi semua syarikat terlibat hampir sama bayaran dividen dibuat beberapa bulan pertama, sebelum dihentikan sepenuhnya.

Selepas itu, pelabur diberikan dokumen yang didakwa palsu atau mengelirukan bagi melengah-lengahkan tindakan.

“Pelbagai alasan diberikan oleh syarikat terlibat untuk mengaburi mangsa. Kami percaya hampir 1,000 individu mungkin menjadi mangsa skim ini,” ujarnya.

Hishamuddin berkata MHO sebelum ini sudah membuat laporan kepada polis, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Bank Negara Malaysia, namun tindakan lanjut daripada SPRM kini amat diperlukan.

MHO menegaskan aduan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM, iaitu kesalahan memperdaya prinsipal menggunakan resit, akaun atau dokumen yang mengandungi maklumat palsu atau tidak lengkap.

“Kami mendesak SPRM menjalankan siasatan menyeluruh di bawah Seksyen 18 Akta SPRM, kerana modus operandi skim ini jelas menggambarkan unsur penipuan dan dokumen yang mengelirukan.

“Kes ini mempunyai persamaan dengan satu siasatan lain di bawah Seksyen 18 yang dijalankan pada penghujung 2024, melibatkan taktik dan pendekatan hampir sama terhadap pelabur,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast