Mohd Razwil (kanan) bersama peguamnya, Habib Rahman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hari ini.

GEORGE TOWN – Selepas empat dekad hidup tanpa status, seorang pembantu kedai makan akhirnya boleh menarik nafas lega apabila keputusan Mahkamah Tinggi yang mengiktirafnya sebagai warganegara Malaysia kekal berkuat kuasa.

Ia susulan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 14 November tahun lalu, sekali gus mengekalkan pengiktirafan kewarganegaraan Mohd Razwil Abdullah, 41 tahun.

Mohd Razwil yang sejak bayi dikenali sebagai ‘bayi tong sampah’ selepas ditemui berhampiran tong sampah di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur menyifatkan detik hari ini sebagai penamat kepada perjalanan panjang untuk mendapatkan identiti sebagai rakyat Malaysia.

Katanya, pengiktirafan itu membawa kelegaan besar selepas melalui kehidupan penuh ketidakpastian sejak kecil, selain membuka peluang untuknya terus menyumbang kepada negara.

“Saya sangat bersyukur… ini penamat kepada perjalanan panjang dan permulaan bab baharu sebagai rakyat Malaysia. Kebahagiaan ini tak dapat digambarkan.

“Saya berharap mereka yang senasib dengan saya juga akan menemui keadilan dan kepastian seperti yang saya lalui hari ini,” katanya.

Mohd Razwil turut menzahirkan penghargaan mendalam kepada individu dan agensi yang menjaganya sejak ditemui ketika masih bertali pusat.

Sementara itu, peguamnya, Datuk Habib Rahman Seeni Mohideen berkata, rayuan berkenaan sepatutnya didengar di Mahkamah Rayuan, di sini, pagi ini namun penarikan balik tersebut menamatkan keseluruhan proses undang-undang yang berlangsung selama lebih setahun.

“Saya telah menerima pengesahan bahawa pihak perayu (JPN) menarik balik rayuan tersebut.

“Maka keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini adalah muktamad dan kekal,” katanya.

Mahkamah Tinggi sebelum ini mengisytiharkan Mohd Razwil sebagai warganegara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang dan mengarahkan JPN mengeluarkan sijil kelahiran serta kad pengenalan yang mencerminkan status tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast