Suraya Sulaiman

JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mencadangkan tujuh langkah yang lebih tegas dan menyeluruh bagi menangani isu pencemaran bau di Sengkang, Bukit Gambir, Tangkak.

Ketua Penerangannya, Suraya Sulaiman berkata, langkah tersebut perlu dilaksana di kawasan yang menjadi punca utama masalah iaitu di ladang ternakan dan pembuangan sampah di Sengkang.

Suraya berkata, pertamanya adalah dengan pemantauan berjadual secara terbuka oleh agensi terlibat dengan laporan kemajuan yang boleh dicapai penduduk.

Kedua katanya, menaik taraf sistem pengurusan sisa ladang menggunakan teknologi moden untuk mengurangkan bau pada kadar maksimum.

“Langkah ketiga adalah mengadakan mekanisme aduan komuniti yang tersusun dan responsif bagi memastikan setiap laporan direkod dan ditindaklanjuti.

“Sementara keempat wujudkan panel pemantauan komuniti bersama agensi teknikal untuk memastikan tindakan segera apabila aduan meningkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, perkara kelima adalan kajian jangka panjang terhadap zon industri ternakan dan potensi penempatan semula jika kawasan sudah tidak sesuai.

Beliau berkata, langkah keenam pula adakan penilaian impak kesihatan dan alam sekitar bagi memastikan setiap langkah mitigasi berasaskan bukti.

Sementara terakhir ujarnya, adakan penyelarasan antara agensi secara berkala, bukan hanya apabila isu memuncak.

Jelasnya, isu pencemaran tersebut sudah berlarutan sejak sekian lama dan bukan sekadar gangguan, tetapi satu bentuk ancaman terhadap kesihatan dan keselamatan penduduk.

“Justeru, semua pihak yang terlibat perlu bertindak pantas, mematuhi semua arahan pembetulan dan memastikan masalah ini tidak berulang,” tegasnya.

Kelewatan atau kecuaian dalam menangani isu ini adalah tidak boleh diterima sama sekali, katanya lagi.

Suraya berkata, isu pencemaran bau itu seperti yang dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, memerlukan tindakan segera dan tegas daripada semua pihak berkaitan.

Beliau berpendangan, operasi bersepadu yang dijalankan pelbagai agensi kerajaan menunjukkan masalah itu telah mencapai tahap yang tidak lagi boleh ditangguhkan, memandangkan gangguan terhadap penduduk sudah berlarutan terlalu lama.

“Hasil operasi itu membawa kepada pengeluaran satu kompaun dan satu notis peringatan kepada pihak ladang dengan tempoh tiga minggu diberikan untuk melaksanakan tindakan pembetulan,” katanya.

Tambahnya, selain isu pengurusan tinja ladang, pencemaran bau juga berpunca dari tempat pembuangan sampah secara tidak terkawal menambah beban kepada penduduk.

Menurutnya, tindakan segera perlu diambil untuk mengelakkan pembuangan sampah di lokasi tidak sesuai, termasuk melalui penyediaan dan pewartaan kawasan pembuangan sisa pepejal yang khusus di kawasan Gambir.

“Kelewatan dalam mewartakan kawasan ini hanya akan menyebabkan masalah terus berulang, membebankan penduduk serta meningkatkan risiko pencemaran,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast