KOTA KINABALU – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus memperkukuh pembangunan prasarana di Sabah bagi memastikan jalan raya di bandar, pinggir bandar dan luar bandar dibina, dinaik taraf dan diselenggara mengikut keperluan sebenar rakyat negeri ini.
Dengan geografi yang luas serta keadaan muka bumi yang mencabar, Sabah memerlukan pelaburan prasarana yang lebih tinggi berbanding negeri lain. Justeru, Sabah diberikan peruntukan tertinggi di bawah program prasarana luar bandar KKDW bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
Pada 2025, Sabah menerima RM789.63 juta untuk 330 projek Jalan Luar Bandar (JALB). Dengan usaha yang tidak pernah terhenti maka 67.5 km jalan baharu telah siap dibina manakala 20,250 penduduk luar bandar telah dapat menikmati perjalanan lebih selesa dan selamat
Daripada Tongod ke Nabawan, daripada Kota Marudu ke Pitas, setiap kilometer baharu bermakna akses lebih dekat ke sekolah, klinik, pasar dan peluang ekonomi.
Sebanyak 236 projek JPD bernilai RM71.05 juta juga dilaksanakan bagi menghubungkan kampung ke jalan utama.
Ini memudahkan penduduk keluar masuk, membawa hasil tani, menghantar anak ke sekolah dan mendapatkan rawatan.
Tinjauan MalaysiaGazette dalam kalangan penduduk di negeri di Bawah Bayu mendapati rata-rata mengakui peranan KKDW dalam meningkatkan infrastruktur, khususnya jalan raya, yang kini banyak membantu memudahkan pergerakan mereka dalam urusan harian.
Seorang penduduk, Oswald James, ketika ditemui berkata, sebagai anak kelahiran Sabah beliau dapat merasakan banyak pembaharuan dari segi kemudahan jalan raya dan masih ada projek yang sedang dilaksanakan.

Beliau turut membandingkan keadaan di Sabah sekarang dan dahulu, di mana banyak kemajuan untuk dinikmati oleh rakyat.
Oswald turut percaya KKDW akan terus memberi perhatian kepada usaha meningkatkan kemudahan prasarana di Sabah, memandangkan masih ada kawasan yang perlu dihubungkan dengan jalan raya dan beberapa laluan yang perlu dibaiki demi kemudahan penduduk.
“Kita lihat sekarang memang banyak perubahan dari segi jalan raya berbanding dulu, tetapi usaha ini harus dilaksanakan secara lebih meluas lagi,” katanya.
Bagi Siti Nur Fazirah Abd Rashid, perubahan paling ketara adalah jalan yang dulunya berbatu kelikir kini sudah diturap menjadikan perjalanan lebih lancar.

Katanya, banyak jalan baharu telah dan sedang dibina melalui projek yang dilaksanakan KKDW, sekali gus meningkatkan kemudahan perhubungan di kawasan terlibat.
Bukan itu sahaja, Siti Nur Fazirah juga melihat banyak jambatan dibina bagi menghubungkan pergerakan dari satu Kawasan ke satu Kawasan yang lain.
“Kalau dulu memang susah, jalan berbatu-batu tetapi sekarang OK dan lebih bagus. Jalan lama juga sudah dipasang tar dan banyak jambatan dibina untuk rakyat,” katanya.

Sementara itu, Shamsudin Sari menyatakan keprihatinannya terhadap keadaan jalan raya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Beliau mengakui usaha KKDW dalam melaksanakan projek pembinaan dan pembaikan jalan semakin ketara, dengan semakin banyak laluan dinaik taraf serta jalan baharu dibina.
Katanya, tumpuan berterusan juga wajar diberikan kepada kawasan kampung dan pedalaman agar penduduk menikmati kemudahan perhubungan yang lebih baik.
“Saya berharap projek pembinaan dan pembaikan jalan dapat diteruskan, termasuk di kampung dan kawasan pedalaman, demi keselesaan penduduk,” katanya.

Pandangan Shamsudin turut dipersetujui oleh seorang lagi penduduk, Norleena Sakiran. Beliau berkata, pembinaan jalan di kawasan luar bandar amat penting kerana ia memudahkan penduduk menjalankan urusan harian, terutama bagi mendapatkan keperluan asas yang banyak terdapat di pekan-pekan besar.
Menurutnya, jalan di kawasan luar bandar turut menjadi laluan kenderaan berat, justeru kerja-kerja penurapan perlu dilakukan dari semasa ke semasa demi keselamatan dan keselesaan pengguna.
Norleena turut memuji usaha KKDW yang sentiasa memperuntukkan dana kepada Sabah untuk mengukuhkan kecekapan infrastruktur.
“Banyak perkembangan berbanding dahulu dan semakin ketara penambahbaikannya. Terima kasih, dan saya berharap projek prasarana di negeri ini terus diperkasakan demi manfaat rakyat,” katanya.
Dengan lebih RM1.466 bilion peruntukan KKDW pada tahun 2025 sahaja, komitmen untuk memastikan pembangunan Sabah terus seimbang dan inklusif semakin jelas. – MalaysiaGazette















