KUALA LUMPUR – Seorang kaunselor eHati didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kerana mendedahkan anggota badan dalam satu program motivasi sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Hakim Syarie Dr. Zainal Abidin Kusmin menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Zaama Rizal Boss, 49, dan memerintahkan wanita itu dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Siti Zaama didakwa menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara mendedahkan anggota badan sehingga boleh dilihat orang lain yang dilarang oleh hukum syarak.
Perbuatan itu dilakukan dalam dewan di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam, di sini, antara pukul 8 malam dan 12 tengah malam pada 29 September tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika mengemukakan rayuan, Siti Zaama berkata, dia melakukan perbuatan itu untuk meningkatkan keyakinan diri ekoran masalah rumahtangga yang dihadapinya.
Menurut wanita tersebut, dia malu dengan dirinya selain merasa rendah diri dan menanggung trauma secara bersendirian.
“Saya cuma nak buang rasa malu kerana ketika itu saya menghadapi masalah rumah tangga hinggakan tidak sedar telah melakukan kesalahan,” katanya.
Wanita itu yang tidak diwakili peguam syarie memberitahu hanya mampu membayar RM500 kerana dia dan suami tidak bekerja.
Semasa prosiding, Pendakwa Syarie, Husaini Roslin berkata, program motivasi itu dikatakan memberi peluang kepada pasangan suami isteri memperbaiki masalah rumah tangga.
“Itu matlamat awal penganjurannya namun ia tidak menghalalkan cara malah niat baik tidak boleh disusuli dengan perkara yang bertentangan dengan agama.
“Menyentuh isu tekanan perasaan, dia sepatutnya memilih saluran yang betul dan bukannya menyertai program yang menyebabkan maruah, aib wanita dan batasan aurat tidak dijaga, meskipun sesama wanita,” katanya.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Syarie mengingatkan tertuduh agar tidak membuatkan Islam dipandang hina oleh masyarakat.
Beliau berkata, sebagai muslimah, dia perlu menjadi duta kepada agama dan menunjukkan sikap yang baik sebagai teladan kepada orang bukan Islam.
“Walaupun kamu mengalami masalah namun halal dan haram tidak boleh dilanggar kerana kamu mengaibkan diri sendiri,” katanya.
Dalam prosiding sama, dua lagi kaunselor iaitu Munirah Hishamshah, 37 dan Bushra Mohd. Zaki, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.
Mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan di lokasi serupa antara pukul 2.30 petang dan 6.30 petang pada 30 September 2024.
Dalam prosiding ini, Munirah diwakili Peguam Syarie, Mazli Abdul Muin sementara Peguam Syarie, Yusfa Hanis Yusoff bagi pihak Bushra.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 5 Mac tahun depan. – MalaysiaGazette
















