KUALA LUMPUR – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjemput orang ramai di Selangor dan kawasan sekitarnya untuk memeriahkan Karnival Zakat Selangor 2025 yang berlangsung dari 27 hingga 29 November 2025 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam.
Penganjuran ini menjadi inisiatif LZS untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan zakat dan mengeratkan hubungan bersama masyarakat dalam suasana yang santai dan inklusif.
Karnival yang masuk percuma ini bermula dari 9 pagi hingga 9 malam ini mengajak pengunjung menikmati pelbagai pengisian menarik, merangkumi reruai pameran interaktif, program komuniti serta aktiviti keluarga yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Lebih 150 pempamer daripada agensi kerajaan, syarikat swasta, industri dan usahawan tempatan turut menyertai karnival ini, memberikan peluang kepada pengunjung meneroka pelbagai program, perkhidmatan dan inisiatif yang diketengahkan sepanjang tiga hari penganjuran.
Sepanjang karnival berlangsung, pengunjung berpeluang berinteraksi secara langsung dengan LZS bagi memahami dengan lebih jelas peranan serta program zakat yang dijalankan sepanjang tahun.
Tumpuan utama tahun ini ialah Karnival i-Kerjaya yang menawarkan lebih 1,500 peluang pekerjaan daripada 20 majikan merangkumi sektor perkhidmatan, pembuatan, perdagangan, automotif serta makanan dan minuman.
Inisiatif ini terbuka kepada semua pencari kerja, dengan keutamaan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf berdaftar bagi membantu mereka memperoleh peluang kerjaya yang lebih stabil dan bersesuaian, kata LZS.
Menurutnya, Karnival Zakat Selangor 2025 turut menampilkan pelbagai tarikan untuk seisi keluarga, antaranya sukaneka rakyat, Zakat Run, serta zon E-Sports dan VR Spot yang menawarkan pengalaman digital ringkas dan menyeronokkan.
Pengunjung juga boleh menikmati Jualan Rahmah dan Food Festival yang menghimpunkan pelbagai pilihan hidangan daripada food truck, selain peluang memenangi hadiah melalui cabutan bertuah yang diadakan setiap hari.
Bagi pengunjung yang mahu menimba ilmu dan motivasi, Forum Perdana akan mengetengahkan perkongsian berkaitan kehidupan dan kekeluargaan dalam penyampaian yang santai serta mudah difahami.
Kemunculan maskot popular kanak-kanak Omar & Hana pasti menambah keceriaan keluarga yang menyertai karnival ini, manakala Recycle Corner dan pertandingan mewarna disediakan sebagai aktiviti tambahan yang mesra semua peringkat umur.
Sebagai penghargaan kepada para pengunjung, cenderahati istimewa LZS menanti mereka yang mendaftar di lokasi karnival.
Selain itu, sempena Kempen Hujung Tahun LZS, tiga buah motosikal turut ditawarkan sebagai hadiah istimewa untuk pengunjung bertuah sepanjang penganjuran.
Karnival ini turut disediakan kaunter bancian asnaf, semakan bantuan serta perkhidmatan taksir dan bayaran zakat bagi memudahkan urusan pengunjung sepanjang karnival. – MalaysiaGazette
















