KUALA LUMPUR – Seorang wanita menafikan menjadi proksi bagi Datuk Seri Shamsul Iskandar Akin dan menyifatkan dakwaan dan tohmahan yang dibuat oleh individu bernama Albert Tei sebagai palsu dan berniat jahat.
Dalam satu klip video, Sofia Rini Buyong berkata, beliau tidak pernah berjumpa dan mengadakan sebarang perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dengan dakwaan yang dibuat oleh Albert.
Malah, wanita ini juga menafikan pernah melakukan perbincangan dengan Shamsul Iskandar berhubung proses permohonan untuk mendapatkan lesen-lesen perlombongan di Sabah.
Dia juga tidak tahu apa jua tindakan Tei berhubung dengan rakaman video yang beliau dakwa telah lakukan.
Lantaran itu, beliau mendakwa, pertuduhan yang dibuat oleh ahli perniagaan tersebut adalah fitnah.
Sofia Rini berkata, perjumpaannya dengan Albert lebih sejam itu telah dirancang oleh ahli perniaagaan tersebut, bahkan, rakaman video tersebut telah dirakam tanpa pengetahuannya.
“Sepanjang perjumpaan tersebut, Albert berkali-kali mengulangi naratifnya dan beliau telah berkali-kali mendorong saya untuk mengesahkan naratif beliau.
“Perbuatan ini seolah-olah atu konspirasi jahat untuk mencemarkan nama PM Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Shamsul Iskandar,” katanya.
Beliau menyifatkan perbuatan ahli perniagaan itu sebagai satu percubaan untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.
Wanita ini turut mendakwa, Albert telah melakukan pembohongan yang nyata apabila menyatakan telah memberi sejumlah wang atas alasan bahawa Shamsul Iskandar boleh meyakinkan untuk mendapatkan semula wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah berkaitan lessen melombong.
Ia kerana, dakwanya tidak pernah ada perbincangan antara dia dan Albert serta Shamsul Iskandar berhubung perkara tersebut.
Lantaran itu, beliau telah meminta nasihat guaman dan polis untuk membuka siasatan di Bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunkasi dan Multimedia 1998 terhadap Albert dan dalang di bekalangnya.
Sofia Rini telah membuat laporan polis berhubung isu ini di Balai Polis Sentul, jam 8.45 malam tadi.
Dalam laporan polis, wanita ini berkata, Shamsul Iskandar tidak mempunyai pengetahuan mengenai proses lessen carigali mineral di Sabah.
“Saya juga menegaskan bahawa saya tidak pernah berjumla dengan Tan Sri Azam Baki dan tidak tahu sama ada Tan Sri Azam Baki ada berjumpa dengan sesiapa pun.
“Apa yang didedahkan di dalam video berkenaan adalah skrip rekaan oleh Albert Tei.
“Saya juga merekayasa cerita saya dalam video tersebit dan mengiyakan apa yang dicakap oleh Albert Tei atas tekanan darinya dan setakat pengetahuan saya, Albert tidak pernah berjumpa dengan PMX,” jelasnya.
Semalam media melaporkan pendedahan Albert yang antara lain mendakwa telah memberikan RM629,000 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan PMX itu atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.
Turut didedahkan tangkap layar perbualan menerusi aplikasi WhatsApp serta gambar-gambar bagi menyokong dakwaannya itu.
Shamsul Iskandar semalam mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri kerana mendakwa apa pihak yang cuba menyerangnya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.
Anwar dalam kenyataan hari ini menerima peletakan jawatan tersebut dan menegaskan SPRM bebas melakukan siasatan segera tanpa campur tangan mana-mana pihak. – MalaysiaGazette
Pendedahan rasuah: SPRM akan panggil Albert Tei, Shamsul Iskandar
















