GEORGE TOWN – Badan kehakiman sedang melaksanakan beberapa langkah segera bagi menangani kesesakan kes dan kekurangan tenaga hakim terutama di negeri yang berdepan jumlah fail aktif sangat tinggi.
Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Utama Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, pihaknya sudah mengenal pasti punca kelewatan di mahkamah dan sedang menyelesaikannya secara berfasa, bukan sekadar tindakan sementara.
Kata beliau, antara situasi berlaku di Johor Bahru, apabila seorang hakim terpaksa menguruskan kira-kira 800 kes aktif, sedangkan beban munasabah bagi seorang hakim lazimnya sekitar 200 hingga 250 kes.
“Kita sedang menilai pelantikan tambahan hakim serta pesuruhjaya kehakiman, tetapi menambah orang semata-mata bukan jalan penyelesaian.
“Kita tak hendak apa yang kita buat sekarang ini lebih kepada ‘firefighting’.
“Kita ada beberapa usaha lain yang sedang berjalan untuk mengurangkan beban kerja, termasuk peluasan mediasi dan kaedah penyelesaian alternatif,” katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Mahkamah Rayuan Secara Litar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Mengulas sidang litar mingguan di Pulau Pinang, beliau berkata, jumlah kes yang berjaya diselesaikan hanya dapat disahkan selepas sesi tamat Jumaat ini, dengan sebahagian kes sudah ditarik balik oleh pihak terbabit.
Tambah Wan Ahmad Farid, badan kehakiman turut meneliti peluasan persidangan mahkamah di Sabah dan Sarawak melangkaui pusat sedia ada di Kuching dan Kota Kinabalu.
“Kami sedang melihat kemungkinan mengadakan sidang di lokasi seperti Miri, Sandakan untuk memudahkan masyarakat luar bandar. Prinsip kami jelas kita pergi kepada mereka. Itulah akses kepada keadilan.
“Usaha menambah baik struktur perbicaraan, memperluas mediasi serta memperkenalkan sidang litar di lokasi baharu adalah langkah berterusan supaya keadilan dapat disampaikan lebih cepat dan berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette
















