Wan Ahmad Farid Wan Salleh merasmikan Persidangan Mahkamah Rayuan secara litar di Pulau Pinang hari ini. 27 NOVEMBER 2025.

GEORGE TOWN – Persidangan Mahkamah Rayuan secara litar di Pulau Pinang yang dihidupkan semula selepas sekian lama dianggap satu langkah penting dalam memperluas akses kepada keadilan bagi masyarakat dan komuniti undang-undang di zon utara.

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Utama Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, persidangan litar itu menepati aspirasi badan kehakiman untuk mendekatkan sistem perundangan kepada rakyat, memastikan proses mahkamah lebih mudah diakses, responsif dan peka terhadap keperluan litigan.

Kata beliau, selama beberapa dekad, peguam dan pihak berkepentingan dari negeri-negeri utara terpaksa ke Putrajaya untuk menghadiri pendengaran rayuan yang melibatkan kos dan perjalanan yang tinggi.

“Hari ini, kita mendekatkan keadilan kepada rakyat. Ini bukan sekadar kemudahan geografi, tetapi untuk menjadikan sistem perundangan lebih mudah diakses dan responsif kepada keperluan litigan.

“Sidang litar bukan sekadar nostalgia tetapi berperanan dalam menambah nilai kepada generasi peguam muda dan pelatih.

“Mereka berpeluang menyaksikan secara langsung standard profesionalisme di Mahkamah Rayuan, mempelajari teknik penghujahan lisan serta memahami penyediaan memorandum rayuan dan implikasinya dalam pendengaran kes,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian persidangan tersebut di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Mengulas lanjut beliau turut menekankan manfaat dari aspek logistik, termasuk pengurangan risiko dan kos yang ditanggung Jabatan Penjara dalam membawa banduan ke Putrajaya bagi kes jenayah.

“Persidangan Mahkamah Rayuan secara litar ini pasti akan mengurangkan kelewatan dalam penyampaian perkhidmatan awam.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada warga mahkamah yang menjayakan penubuhan persidangan ini, serta berharap mahkamah itu menjadi mercu keadilan dan jambatan penyelesaian undang-undang kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais berkata, sejak penubuhannya pada 1994, Mahkamah Rayuan berkembang daripada 10 kepada 32 hakim, sejajar peningkatan kes dan peranan sebagai mahkamah rayuan utama selepas Mahkamah Tinggi.

“Sejarah menunjukkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pernah menjalankan sidang litar di seluruh negara, dan inisiatif semasa menghidupkan semula tradisi itu menegaskan prinsip bahawa mahkamah perlu menghampiri rakyat, bukan sebaliknya.

“Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan akses kepada mahkamah tertinggi, malah menyediakan platform pembelajaran kepada peguam muda,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast