KUALA LUMPUR – Waris kepada lelaki yang maut dalam tragedi kepala air di Pintasan Saloma disahkan layak menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Perkeso berkata, mendiang Suresh a/l Kamalanathan, 37, yang bekerja sebagai penyelia di syarikat kontraktor Palladium Builders Sdn. Bhd merupakan pencarum di bawah Lindung Pekerja menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), namun rekod caruman terakhir ialah pada April 2025.
Lantaran itu, Perkeso segera menghubungi majikan dan melalui hasil tindakan segera, caruman tertunggak mendiang dari Mei hingga Oktober 2025 dilunaskan sepenuhnya pada 18 November lalu, sekali gus mengekalkan status mendiang sebagai pencarum aktif dan memastikan warisnya layak menerima perlindungan penuh, katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Perkeso, isteri mendiang, Shalini Devi a/p A Prupakaran, 31, dan anaknya yang berusia enam tahun, Pratezwaran, layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT), mengikut syer masing-masing dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2,655 sebulan, selain Faedah Pengurusan Mayat RM3,000 secara sekali bayar.
Suresh dihanyutkan arus deras ketika cuba mengalihkan sebuah kenderaan di bawah jambatan selepas menyedari kehadiran kepala air pada kira-kira
jam 5.40 petang, 17 November lalu.
Mayat mendiang ditemukan empat hari kemudian, kira-kira 45 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Dalam pada itu, Perkeso mengingatkan majikan untuk memastikan caruman pekerja sentiasa dikemas kini tanpa tunggakan, khususnya bagi pekerja yang berkhidmat dalam persekitaran berisiko tinggi. – MalaysiaGazette















